Deepavali bermakna buat Devagi

in Edisi by

Saarani (kanan) menikamti hidangan muruku yang disediakan Devagi (tiga dari kiri) ketika singgah menyambut Deepavali di Kampung Chengai, Sungkai pada Isnin.Saarani (dua dari kanan) bersama pimpinan negeri meraikan sambutan Deepavali di kediaman Devagi di Kampung Chengai, Sungkai.

TANJUNG MALIM – Sambutan Deepavali kali ini menjadi kenangan manis buat dua beranak apabila Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkunjung ke rumah mereka di Kampung Chengai, Sungkai pada Isnin.

Ibu tunggal, K Devagi, 57, berkata, kehadiran Saarani membuatkan mereka berasa teruja kerana dapat melihat dan berbual dengan pemimpin negeri itu secara dekat.

Menurut Devagi, dia bersama anaknya, K Logeswary, 40, tidak sempat membuat persiapan istimewa bagi menyambut kehadiran rombongan kerajaan negeri itu.

“Pada awalnya saya berasa malu kerana keadaan rumah yang serba kekurangan dan disebabkan kesuntukan masa, kami hanya menjamu beliau hidangan ringkas seperti muruku dan kuih lain.

“Beliau menerima persiapan kami seadanya selain prihatin dengan masalah kami termasuk jiran-jiran dengan bertanya khabar dan masalah yang kami hadapi,” katanya ketika ditemui pada pada program ramah mesra bersama penduduk sempena sambutan Deepavali di sini.

Sementara itu, Saarani berkata, kerajaan negeri akan berusaha membantu kira-kira 300 penduduk untuk memiliki kediaman berikutan status tanah kini yang merupakan rizab jalan.

**media[1955359]**

“Kawasan ini dahulunya merupakan jalan raya dan setelah dibina jalan baharu, ia tidak digunakan kemudian dijadikan sebuah perkampungan sejak 1964.

“Apabila ada menerima permohonan daripada penduduk yang mahu kita membaiki rumah dan apabila Yayasan Bina Upaya (YBU) turun padang mendapati status tapak adalah rizab jalan,” katanya.

Tambah Saarani, pihaknya perlu mendapatkan ulasan daripada beberapa jabatan terutama Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) sebelum nyahwarta status tanah.

“Jika JKR tiada halangan itu merupakan permulaan membolehkan PTD membuat cadangan kepada PTG dan menyokong supaya Exco nyahwarta serta menjadikan tanah kerajaan.

“Setelah itu baharu boleh proses permohonan penduduk mendapatkan tapak rumah sekali gus menjadikan ia projek sifar setinggan secara ‘in-situ’,” ujarnya.