Projek loji RM9.5 bilion: KeTSA, TNB didesak beri penjelasan

in Nasional by

Chean Chung

SHAH ALAM – Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Hasan Arifin didesak supaya memberikan penjelasan mengenai penglibatan Widad Business Group Sdn Bhd (Widad) dalam projek pembinaan loji turbin gas kitaran gabungan (CCGT) bernilai RM9.5 bilion di Kapar, Selangor.

Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung berkata, keterlibatan Widad menimbulkan tanda tanya kerana dakwanya, ia merupakan syarikat yang jelas tidak mempunyai pengalaman dalam pembinaan loji berkenaan berbanding TNB.

Menurutnya, projek yang dilaksanakan melalui usaha sama antara TNB yang mempunyai kepentingan 60 peratus dan Widad 40 peratus terhadap pembangunan itu adalah sesuatu yang luar biasa

“TNB merupakan syarikat gergasi elektrik yang terbesar di Malaysia. Ia mempunyai serta telah membina loji kuasa yang terbanyak, menguasai grid pengagihan kuasa, serta merupakan pembeli elektrik terbesar di negara ini.

“Persoalannya, mengapakah TNB tidak boleh membangunkan loji kuasa ini dengan keupayaan sendiri?” soal beliau dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada 21 Oktober lalu, TNB mengumumkan telah menerima Surat Hasrat (LOI) daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) untuk membangunkan loji CCGT 2,100 megawatt itu yang dijangka mula beroperasi menjelang tahun 2031.

Chean Chung menyifatkan kaedah pembangunan projek itu adalah mirip dengan pembinaan loji oleh syarikat terpalit dengan skandal penyelewengan iaitu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Rakyat sudah tidak terasing dengan cerita sebegini. Kita tidak lupa kali terakhir projek yang mirip ini adalah pembinaan loji kuasa 2,000 megawatt kepada sebuah syarikat yang ternama, 1MDB pada tahun 2014.

“Ekorannya, rakyat sekarang terpaksa menjelaskan hutang dengan pembayaran faedah sebanyak RM3.47 bilion sebulan ekoran daripada skandal besar 1MDB dan salah pengurusan/pentadbiran kerajaan terdahulu,”ujarnya.