'Saya sudah cuba yang terbaik' – Zii Jia

in Sukan by

Jii Zia tekad bangkit pada dua lagi kejohanan di Eropah. – Foto Agensi

PEMAIN perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia menaruh keyakinan untuk merangkul gelaran ketiga musim ini, meskipun terlepas kejuaraan Terbuka Denmark pada Ahad.

Pemain berusia 24 tahun itu masih berpeluang bergelar juara menerusi dua kejohanan yang bakal disertai iaitu Terbuka Perancis pada Selasa dan Terbuka Hylo di Saarbrucken, Jerman dari 1 hingga 6 November depan.

Justeru, Zii Jia yang menghuni ranking ketiga dunia enggan mengalah biarpun tewas di tangan pemain China, Shi Yu Qi yang menduduki ranking ke-44 dunia di pentas final tersebut semalam.

Sebaliknya pemain dari Alor Setar, Kedah itu menyifatkan kekalahan tersebut sebagai penyuntik semangat untuk bangkit melakar lebih banyak kejayaan.

“Saya sudah cuba yang terbaik dan termampu. Ia sesuatu yang perlu saya terima dan kembali memberi fokus untuk Terbuka Perancis.

“Saya masih mempunyai dua kejohanan yang akan disertai dan diharap boleh mengekalkan prestasi,” katanya.

Zii Jia sebelum ini meraih kejuaraan di Terbuka Thailand dan Kejohanan Badminton Asia.

Pada perlawanan akhir itu, Zii Jia yang merupakan pilihan keempat kejohanan dan menjadi pilihan memenangi aksi final tersebut, kalah dalam pertembungan tiga set 18-21, 21-16, 12-21 di Arena Jyske Bank, Odense.

Tentangan sengit ditunjukkan Yu Qi pada set pertama sehingga memaksa Zii Jia akur tewas 18-21.

Dia kemudian bangkit pada set kedua dengan kemenangan 21-16 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Bagaimanapun Zii Jia gagal mengekalkan rentak terbaik pada set penentuan apabila ketinggalan seawal permainan sekali gus memberi ruang Yu Qi merangkul kejuaraan dengan kemenangan 21-12.

“Bermula set ketiga, saya tidak begitu fokus dan dia dapat mengambil peluang itu untuk mengawal permainan.

“Apapun secara keseluruhan, ini adalah satu permulaan yang baik untuk saya,” ujarnya.