2,010 PPS dikenal pasti bertindih pusat mengundi

in Nasional by

Ismail Sabri bersama Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani pada sidang akhbar di Bukit Aman.

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengenal pasti sebanyak 2,010 pusat pemindahan sementara (PPS) dan pusat mengundi bertindih yang mana pengasingan akan dilakukan sekiranya berlaku banjir pada hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 6,010 PPS telah dikenal pasti yang mana sebanyak 2,010 PPS bertindih dengan pusat pembuangan undi.

“Sebagai contoh, jika sekolah itu mempunyai tiga blok, ia boleh diasingkan yang mana dua blok dijadikan PPS sementara dan satu lagi sebagai tempat mengundi.

“Lagipun banjir bukan berlaku di seluruh negara, mungkin juga banjir tidak berlaku. Bukan bermakna 2,010 yang bertindih itu akan berlaku banjir tetapi kita melakukan persediaan,” katanya pada sidang akhbar, selepas taklimat khas sempena PRU15 dan Monsun Timur Laut di Bukit Aman di sini pada Selasa.

Ismail Sabri berkata, pegawai daerah telah diamanahkan untuk mencari lokasi alternatif untuk PPS juga sekiranya berlaku pertindihan.

“Lokasi lain seperti dewan serbaguna telah dikenal pasti untuk kemungkinan pemindahan PPS sekiranya berlaku pertindihan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah bersiap siaga menghadapi banjir.

“Persiapan agensi terlibat adalah seramai 21,018 anggota dan pegawai PDRM, ATM (18,511), JBPM (14,829), APM (10,510) dan Rela (4,367).

“Sebanyak 1,816 bot, 1,810 kenderaan pacuan empat roda, 1,596 lori dan 19 aset udara akan digunakan jika berlaku banjir,” katanya.

Ismail Sabri berkata, lawatan beliau itu adalah untuk melihat sendiri persediaan yang dilakukan oleh PDRM dalam membantu dari segi keselamatan pada PRU15.

“Seramai 5,661 pegawai dan anggota akan ditugaskan pada hari mengundi awal, 31,183 pegawai dan anggota pula akan bertugas di pusat penamaan calon.

“Seramai 43,716 pegawai dan anggota bertugas di pusat penjumlahan rasmi undi dan kekuatan penugasan hari mengundi pula adalah seramai 58,227 pegawai dan anggota,” katanya.

Ismail Sabri berkata, beliau percaya jumlah anggota dan pegawai polis yang bertugas pada PRU15 adalah mencukupi.