Bekas ADUN Permas diumum calon Parlimen Pengerang

in Politik by

Aminolhuda (dua dari kiri) mengumumkan Cha Zakaria (tengah) sebagai calon Parlimen Pengerang dalam Majlis Penyerahan Calon Parlimen Pengerang kepada PH Pengerang di Felda Air Tawar 1, Pengerang pada Isnin.
PENGERANG – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh diumum sebagai calon kerusi Parlimen Pengerang mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perkara itu diumumkan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan pada Majlis Penyerahan Calon Parlimen Pengerang kepada PH Pengerang di Felda Air Tawar 1, dekat sini pada Isnin.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Sr Dzulkefly Ahmad serta wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP Bahagian Pengerang.

Che Zakaria yang sebelum ini menewaskan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas pada PRU14 dengan majoriti 8,746 undi itu dijangka berdepan dengan Datuk Seri Azalina Othman pada PRU15.

Difahamkan Che Zakaria yang juga bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) merupakan seorang daripada enam calon Amanah di Johor yang akan bertanding pada PRU15.

Sementara itu, beliau berkata, kepercayaan diberikan Amanah itu adalah satu penghormatan kepadanya dan tekad untuk bersungguh-sungguh memenangi kerusi Parlimen Pengerang pada PRU15.

Beliau sedar cabaran yang akan dihadapinya kerana Parlimen tersebut adalah kubu kuat BN dan UMNO, namun itu tidak menghalangnya untuk berjuang dalam usaha memberi perkhidmatan lebih baik di Pengerang.

“Amanah dan PH menawarkan masa depan negara yang lebih bersih selain bebas korupsi dan kleptokrasi. Rakyat harus sedar mereka perlu membebaskan negara daripada terus dibelenggu masalah kerajaan BN.

“Sudah cukup negara ini terbelenggu dengan masalah rasuah dan tiada integriti, pecah amanah dan salah guna kuasa sejak berdekad lamanya,” katanya kepada pemberita selepas ditemui pada majlis tersebut.

Beliau berkata, pengumuman enam calon Amanah Johor untuk PRU15 itu dilakukan di setiap kawasan Parlimen yang ditandingi parti tersebut.

Katanya, PH akan mengumumkan kessemua 26 calon Parlimen di negeri ini yang akan bertanding dalam PRU15 pada 27 Oktober ini di Muar.