Calon BN disaring teliti termasuk disemak di pejabat agama

in Politik by

Ismail Sabri ketika sidang media selepas menghadiri Taklimat Khas Sempena PRU15 dan Monsun Timur Laut 2022 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Selasa. – Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Calon mewakili BN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan dijalankan saringan terlebih dahulu meliputi segenap aspek.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, saringan dijalankan bagi memastikan setiap calon mempunyai rekod yang bersih.

“Saringan meliputi setiap aspek meliputi semakan rekod menerusi agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan beberapa agensi lain terlibat.

“Selain itu, semakan turut melibatkan pejabat agama bagi kawasan-kawasan yang mana calon bertanding bagi memastikan calon mempunyai rekod bersih sama ada melibatkan isu kahwin di Thailand, nafkah kepada anak dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menghadiri taklimat berkaitan persediaan menghadapi PRU15 dan banjir di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada Selasa.

Katanya, perbincangan telah dijalankan bersama Badan Perhubungan UMNO di setiap negeri untuk calon yang akan diletakkan.

“Setakat ini perbincangan awal telah dilaksanakan dan akan dimuktamadkan kelak,” katanya.

Dalam pada itu, ujarnya, manifesto BN akan diumumkan kelak apabila tiba masanya.