Cuti 5 hari sia-sia, harga tiket penerbangan mahal

in Nasional by

Gambar hiasan. (Gambar kecil: (kiri) Mohd Shahrul Izzat Basri dan Mohd Faizal Kambah)

KOTA KINABALU – Walaupun peroleh cuti pelepasan lima hari, namun penuntut di institusi pengajian tinggi di Sabah bimbang tidak dapat pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berikutan harga tiket penerbangan mahal.

Presiden Markas Siswa Siswi Islam Sabah (Marsis), Mohd Shahrul Izzat Basri dan dan Timbalan Pengerusi Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) Sabah, Mohd Faizal Kambah dalam satu kenyataan bersama berkata, meskipun cuti pelepasan lima hari, namun ia tidak memberi apa-apa makna jika pelajar tidak dapat pulang disebabkan tidak mampu membeli tiket penerbangan.

Menurut mereka, isu tiket penerbangan mahal bukan suatu perkara yang baharu, malah ia sering dibangkitkan.

“Hal ini kerana belum ada jalan penyelesaian yang konkrit dan terancang diambil khususnya oleh kerajaan Sabah.

“Sebelum ini, Marsis juga telah mengeluarkan kenyataan berkaitan isu harga tiket ke Borneo mahal pada musim perayaan yang membebankan mahasiswa dan anak perantau untuk pulang menyambut hari raya Aidilfitri.

“Perkara ini sepatutnya menjadi kebimbangan bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Menteri Pengangkutan, Menteri Tugas – Tugas Khas dan Ketua Menteri. Mahasiswa Sabah yang ada kesedaran mengundi tetapi tidak dapat pulang mengundi,” katanya.

Selain itu juga, kenyataan itu turut menyebut kebimbangan lain mereka adalah objektif utama KPT memberi cuti pelepasan lima hari tidak tercapai iaitu untuk melahirkan generasi yang prihatin dengan pemerintahan negara dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan sebagai pengundi.

Sebelum itu, KPT bersetuju memberi pelepasan selama lima hari bermula 17 hingga 21 November ini kepada pelajar untuk pulang menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai pengundi pada PRU15.