Permohonan PBM sertai BN masih dipertimbangkan

in Politik by

Ismail Sabri

KUALA LUMPUR – Permohonan Parti Bangsa Malaysia (PBM) untuk menyertai BN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih dalam pertimbangan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, permohonan tersebut masih dalam peringkat perbincangan dan masih belum diputuskan.

“Permohonan PBM untuk menyertai BN belum dimuktamadkan lagi, kita tak tolak namun kita masih pertimbangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri taklimat berkaitan persediaan menghadapi PRU15 dan banjir di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, mengulas mengenai dakwaan dan kajian yang menyatakan BN sukar untuk memenangi PRU15 ini, Ismail Sabri berkata setiap pihak yang bertanding pasti mempunyai keyakinan untuk menang.

“Dalam pilihan raya ini, mana-mana pihak sama ada Gabungan Tanah Air (GTA), Pakatan Harapan (PH) atau mana-mana pihak sekalipun pasti ada keyakinan untuk menang.

“Semua pihak yakin dan ini bukan satu masalah, yang penting agenda dan usaha yang kita laksanakan untuk rakyat melakukan pilihan,” katanya.