Terengganu syor 4 seksyen baharu kesalahan jenayah syariah

in Edisi by

Wan Mohd ZakriWan Mohd Zakri (tiga dari kanan) bersama Pakar Perlembagaan, Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz (dua dari kanan); Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Nurhafilah Musa (kanan); Exco Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar (tengah) dan peguam, Datuk Fariz Irwan Mustafa (tiga dari kiri) ketika hadir pada forum pada Isnin.

KUALA TERENGGANU – Empat seksyen baharu akan dicadangkan selain 21 pindaan terhadap hukuman sedia ada bagi menambah baik Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.

Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata, empat seksyen baharu itu melibatkan kesalahan perbomohan dan sihir, hamil atau melahirkan anak luar nikah, perempuan berlagak seperti lelaki dan persediaan melakukan liwat.

Beliau memberitahu, draf bagi penambahbaikan enakmen itu telah disiapkan dan akan dibawa untuk dibahas serta diluluskan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November ini.

“Cadangan pindaan itu adalah hasil penelitian dan kajian yang dilakukan Jawatankuasa Penyelarasan Undang-Undang Syariah di Bawah Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi.

“Hasil perbincangan itu, 21 seksyen dicadangkan untuk dibuat pindaan dan memasukkan empat seksyen baharu diikuti dua subseksyen baharu,” katanya ketika sidang akhbar selepas menghadiri forum Enakmen-Enakmen Syariah Terengganu 2001: Cadangan Penambahbaikan dan Pemerkasaan Enakmen di sini pada Isnin.

Jelas beliau, beberapa enakmen telah dikaji dan telah dibuat penambahbaikan antaranya dimaksimumkan hukuman berdasarkan peruntukan 356 iaitu tiga tahun penjara, denda RM5000 dan enam sebatan.

“Berkaitan dengan perkara timbal balas, berdasarkan peruntukan sedia ada, hanya lelaki berlagak perempuan sahaja yang dikira sebagai satu kesalahan, melalui pindaan terbaharu ini perempuan berlagak lelaki juga dikira sebagai satu kesalahan.

“Terdapat penambahan untuk beberapa hukuman dengan dibuat hukuman alternatif untuk peruntukan sedia ada.

“Beberapa hukuman telah dipinda daripada terus ditahan ke penjara tetapi diberi kuasa kepada hakim untuk membuat alternatif lain sama ada dihantar ke pusat jagaan yang telah diluluskan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam),” katanya.’

**media[1956018]**

Menurut Wan Mohd Zakri, Jawatankuasa Penyelarasan Undang-Undang Syariah berpandangan cadangan untuk meminda enakmen ini juga adalah wajar berikutan pola perkembangan kes-kes jenayah di Mahkamah Syariah yang meningkat saban tahun dan boleh dikatakan semakin kompleks.

Menurutnya, kali terakhir enakmen itu digubal ialah lebih 20 tahun lalu dan kali terakhir pindaan enakmen dibuat adalah pada tahun 2016 iaitu hanya melibatkan lima seksyen sahaja.

“Dengan adanya pindaan ini akan memperkukuhkan lagi perundangan Syariah di Negeri Terengganu.

“Cadangan pindaan adalah berdasarkan takzir 2001 pindaan 2016 yang mana pindaaan yang dicadangkan ini masih lagi dalam ruang lingkup bidang kuasa yang diberikan di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Syariah) 1965 iaitu Akta 355,” katanya.