Tidak perlu berdebat, tumpu agenda rakyat: PM

in Nasional by

Ismail Sabri ketika sidang akhbar selepas menghadiri taklimat berkaitan persediaan menghadapi PRU15 dan banjir di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Selasa.

KUALA LUMPUR – Berdebat bukan budaya yang diamalkan oleh BN, sebaliknya menfokuskan kepada agenda rakyat dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berdebat tidak mendatangkan sebarang hasil kerana semua pihak mahu menyatakan apa yang mahu dijanjikan sekiranya menang PRU15.

“Berdebat ini bukan budaya BN sejak sekian lama, kita dibentuk daripada kepercayaan yang dizahirkan rakyat atas apa yang dilaksanakan.

“Sesiapa pun yang berdebat akan menjanjikan segala bulan dan bintang, sebaliknya ketika ini masing-masing sibuk untuk persiapan menghadapi PRU15, jadi saya rasa tak perlu berdebat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menghadiri taklimat berkaitan persediaan menghadapi PRU15 dan banjir di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada Selasa.

Pada Selasa, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar debat secara terbuka diadakan antara calon-calon Perdana Menteri daripada gabungan parti politik yang bertanding dalam PRU15.

Jelasnya, debat itu perlu bagi membincangkan dasar untuk menentukan hala tuju negara.