Fadillah setuju jawatan TPM harus ada kuasa

in Politik by

Fadillah

KUCHING – Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof bersetuju dengan pendapat bahawa jawatan timbalan perdana menteri (TPM) mestilah mempunyai kuasa dan bukan hanya sekadar ‘jawatan’.

Beliau berkata, apa yang penting adalah bagi mewujudkan kerajaan yang stabil serta memahami kehendak rakyat di negara ini selain kehendak penduduk di Sabah dan Sarawak.

“Mewujudkan jawatan tidak semestinya menyelesaikan apa sahaja masalah, yang penting jawatan itu ada kuasa.

“Di Sarawak apa yang kita nak fokus adalah untuk kembalikan hak Sarawak, kalau ada jawatan tapi tidak ada kuasa ia tidak memberikan hasil kepada Sarawak,” katanya selepas menghadiri majlis pengagihan PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini pada Rabu.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini mencadangkan tiga jawatan TPM masing-masing mewakili Sabah, Sarawak dan Semenanjung diwujudkan jika BN menang dominan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, perkara mengenai pelantikan wakil dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung bagi mengisi jawatan TPM itu akan dimasukkan dalam manifesto BN.

Pada Selasa, Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang menyambut baik cadangan itu berkata, soal kuasa yang diperuntukkan untuk jawatan TPM itu adalah lebih penting berbanding hanya diberikan jawatan semata-mata.

Sementara itu, berucap pada majlis berkenaan Fadillah yang juga Menteri Kanan Kerja Raya berkata PerantiSiswa merupakan inisiatif kerajaan bagi membantu mahasiswa institusi pengajian tinggi daripada kelompok keluarga B40.

Sejumlah 6,456 pelajar UNIMAS layak mendapatkan kemudahan PerantiSiswa itu dan setakat semalam sejumlah 2,800 unit telah diagihkan secara berperingkat. – Bernama