Impak penderaan kanak-kanak

in Analisis Sinar by

Gambar hiasan 123RF.

KES penderaan kanak-kanak semakin berleluasa seperti yang dilaporkan oleh akhbar.

Ada antara kita akan marah apabila mengetahui kes dera membabitkan segelintir ibu bapa atau pengasuh yang disifatkan sebagai tidak berhati perut dan kejam.

Akibat perlakuan dera pada kanak-kanak, ia bukan hanya meninggalkan kesan ke atas fizikal malah psikologi mereka.

Kanak-kanak yang menjadi mangsa dera secara umumnya akan menanggung kecederaan yang serius pada tubuhnya.

Banyak kes penderaan yang dilaporkan melibatkan penggunaan objek keras dan tumpul sebagai senjata.

Mangsa dera ditampar, disepak dan dipukul menggunakan rotan, kayu serta tali pinggang oleh insan yang tidak berhati perut tersebut.

Perbuatan kejam itu bukan sahaja mencederakan tubuh kanak-kanak secara luaran, malah berkemungkinan turut merosakkan fungsi organ dalaman.

Sikap tidak berperikemanusiaan itu akan mendatangkan kesan yang lebih serius seperti kanak-kanak tersebut akan mengalami kecacatan kekal pada anggota badan.

Kejadian dera pasti menjadi mimpi buruk yang sentiasa membayangi kanak-kanak tersebut.

Mereka akan sentiasa berada dalam keadaan ketakutan apabila bertemu dengan orang lain.

Jelaslah, penderaan kanak-kanak akan mempengaruhi emosi dan tindak balas kanak-kanak terhadap persekitaran secara psikologi.

Terdapat tiga faktor utama membabitkan kes penderaan dalam kalangan kanak-kanak di negara ini iaitu masalah kewangan, dadah dan mental.

Tiga faktor utama itu adalah antara penyumbang kes penderaan fizikal, seksual, emosi dan pengabaian kanak-kanak di negara ini.

Selain itu, punca berlakunya kes-kes penderaan kanak-kanak ialah ibu bapa yang bekerja mungkin mereka menghadapi tekanan di tempat kerja dan melepaskan tekanan tersebut kepada anak-anak yang tidak berdosa.

Kesabaran

Tabiat anak yang masih kecil memang suka merengek kerana mereka perlukan perhatian daripada ibu bapa. Sebagai contoh, bayi memerlukan paling banyak penjagaan dan perhatian, tangisan yang tidak henti-henti mungkin mencabar kesabaran ibu bapa dan pengasuh.

Jangan sekali-kali menggoncang, menumbuk atau memukul bayi untuk menghentikan mereka daripada menangis.

Tindakan itu sangat berbahaya kerana ia boleh menyebabkan kecederaan atau berkemungkinan mengancam nyawa mereka.

Jika sukar mengawal tingkah laku anak, minta sokongan atau nasihat daripada ahli keluarga atau rakan yang lebih berpengalaman.

Pada 6 September lalu, media melaporkan sebanyak 1,055 kes penderaan kanak-kanak direkodkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara bermula Januari hingga Jun tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, sebanyak 578 kes membabitkan penderaan fizikal, 417 kes penderaan seksual dan 60 kes adalah penderaan emosi.

Katanya, daripada jumlah berkenaan 706 kes adalah membabitkan kanak-kanak perempuan dan 349 kes kanak-kanak lelaki.

Lindungi kanak-kanak

Melindungi kanak-kanak daripada keganasan memerlukan pembabitan setiap individu dalam masyarakat.

Kanak-kanak harus mendapat penjagaan terbaik dan perlindungan daripada keluarga mereka sendiri.

Ibu bapa mempunyai peranan penting dalam menyediakan keperluan asas anak, mengasuh, membimbing dan melindungi mereka daripada bahaya.

Masalah penderaan kanak-kanak ini perlulah dibendung dan diatasi dengan segera.

Penderaan kanak-kanak merupakan perbuatan keji yang dilarang keras oleh agama. Ingatlah, anak-anak merupakan amanah ALLAH SWT.

Jika kita mengesyaki berlakunya kes penderaan di kawasan perumahan, jangan berlengah lagi.

Tindakan pantas kita boleh membantu menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak yang didera dengan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

Orang ramai boleh menghubungi Talian Kasih iaitu menerusi talian bebas tol 15999 dan aplikasi WhatsApp 019-261 5999 atau kunjungi pejabat kebajikan serta balai polis berhampiran untuk tindakan selanjutnya.

*Ahmad Ismadi Ismail ialah Wartawan meja Jenayah Sinar Harian