Isu pengampunan Najib bukan kuasa kerajaan, UMNO: PM

in Politik by

Ismail Sabri berucap ketika merasmikan kompleks bangunan baharu Media City serta mengumumkan nama baharunya sebagai Angkasapuri Kota Media pada Rabu. – Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Kerajaan dan UMNO konsisten untuk tidak mencampuri urusan mahkamah melibatkan mana-mana individu di negara ini termasuk isu berkaitan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dibangkitkan pihak tertentu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, isu pengampunan seseorang yang telah disabitkan di mahkamah adalah terserah kepada semakan kehakiman dan Lembaga Pengampunan.

“Isu pengampunan Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak), kuasa bukan kerajaan, bukan di tangan UMNO, kita hormati apa sahaja keputusan mahkamah, ia terpulang kepada semakan kehakiman dan lembaga pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Angkasapuri Kota Media di sini pada Rabu.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian ketika ditanya berkenaan kenyataan seorang penganalisis politik yang tular di Twitter, mendakwa Najib akan mendapat pengampunan penuh jika BN berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). – Bernama