PRU15: PPIM bakal tubuh gerakan sukarelawan rakyat

in Nasional by

Nadzim

SHAH ALAM – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) akan mewujudkan satu gerakan sukarelawan rakyat untuk badan bukan kerajaan (NGO) menyuarakan hasrat dan ketidakpuasan hati mereka terhadap calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, kuasa rakyat dan NGO akan bersama-sama menjadi pendesak kepada calon-calon yang tidak menepati citarasa.

“Sebelum PRU15 ini, PPIM akan mewujudkan satu gerakan sukarelawan rakyat yang mengikut perlembagaan dan kemanusiaan, di mana semua NGO boleh menyuarakan hasrat dan kemarahan mereka kepada calon-calon yang tidak melakukan yang terbaik serta menipu,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Nadzim juga meminta rakyat supaya menggunakan hak mereka sebagai pengguna bijaksana dan memberi perhatian kepada ciri-ciri calon yang bertanding sama ada mempunyai nilai-nilai seorang pemimpin yang berkaliber serta bertanggungjawab.

“PPIM juga menerima banyak pertanyaan daripada rakyat yang bertanyakan siapakah pemimpin yang patut mereka pilih.

“Mengikut sejarah kita, menteri menteri/ahli Parlimen kita yang lalu tidak membantu, tidak berintegriti, sombong dan menyusahkan rakyat.

“Kami membuka pintu kepada calon-calon yang mahukan sokongan kami, (mereka) wajib mempunyai ciri-ciri pemimpin yang baik, jujur, bekerjasama, mempunyai hati dan kebijaksanaan untuk membantu rakyat serta mengharmonikan negara, sanggup ke depan dan berkorban untuk rakyat,” ujarnya.