Semakin jelas Amirudin bertanding di Gombak

in Politik by

Poster memaparkan gambar Amirudin dipercayai calon PO8 Gombak mula dikongsikan di media sosial sejak Rabu.

GOMBAK – Desas-desus Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bakal bertanding di Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin jelas kelihatan.

Ia selepas terdapat poster calon memaparkan wajah Amirudin yang merupakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dikongsikan penyokong parti tersebut di Facebook.

Khabar angin Amirudin akan bertanding di kerusi tersebut telah bertebaran sejak Parlimen belum dibubarkan lagi.

Namun, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Amirudin berhubung perkara itu.

Setiap kali diajukan soalan berkenaan, Amirudin meminta pengamal media menunggu pengumuman daripada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jika benar dakwaan tersebut, Amirudin bakal memberikan tentangan kepada penyandang kerusi tersebut, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin yang merupakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor menegaskan akan mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 2008.

Menerusi temubual dengan Agenda Awani pada Selasa, Mohamed Azmin memberitahu akan mempertahankan kerusi Gombak dan bersedia untuk terus berkhidmat kepada orang Gombak.

Parlimen Gombak juga bakal menyaksikan pertembungan sekurang-kurangnya tiga kerusi jika BN meletakkan calonnya.

Calon daripada BN yang menjadi sebutan adalah Timbalan Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang juga Ketua UMNO Gombak.

Untuk rekod Mohamed Azmin menang PRU14 di Gombak di bawah tiket Pakatan Harapan menewaskan Datuk Abdul Rahim Pandak Kamarudin (BN) dan Khairil Nizam Khirudin (Pas) dengan majoriti 48,721 undi.

Dalam pada itu, PKR dijangka bakal membuat pengumuman calon di Padang MPAJ Taman Kosas Ampang Jumaat ini.