Singapura namakan orkid sempena Raja Permaisuri Agong

in Nasional by

Al-Sultan Abdullah (kiri) dan Tunku Azizah berkenan menamakan sebuah pokok orkid ‘Dendrobium Queen Azizah of Malaysia’ ketika berangkat ke Majlis Sambutan Negara dan Majlis Santapan Negara di Istana, Orchard Road pada Rabu. – Foto Bernama

SINGAPURA – Singapura menamakan satu spesies orkid hibrid sebagai ‘Dendrobium Queen Azizah of Malaysia’ bersempena dengan nama Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Penamaan bunga itu berlangsung bersempena lawatan negara Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah ke Singapura yang bermula semalam hingga 28 Oktober ini.

Seri Paduka berdua dipersembahkan nama baharu orkid itu pada Majlis Penamaan Orkid di Istana, Orchard Road, di sini pada Rabu, dengan turut dihadiri Presiden Singapura, Halimah Yacob dan suami, Mohammed Abdullah Alhabshee.

Turut berangkat ke majlis berkenaan adalah anakanda Seri Paduka Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah.

Pada majlis itu, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong turut berkenan menyempurnakan nama bunga itu dengan menggantikan plak lama kepada plak baharu yang bertuliskan ‘Dendrobium Queen Azizah of Malaysia’.

Bunga ini adalah hibrid orkid yang teguh dan bebas berbunga yang menghasilkan perbungaan separa tegak kira-kira 50cm panjang yang mengandungi lebih daripada 20 bunga tersusun cantik dan setiap bunga berukuran kira-kira 4.5cm lebar.

Orkid ini mempunyai kelopak dan sepal bergulung dengan warna kuning keemasan dan memiliki bibir berwarna ungu kemerahan yang menawan.

Singapura mempunyai tradisi menanam pokok spesies orkid, yang merupakan bunga kebangsaan Singapura, dan kebiasaannya dinamakan sempena lawatan rasmi pemimpin serta orang kenamaan ke republik itu.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan Raja Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Idris Shah adalah antara pembesar negara yang pernah dipersembahkan orkid yang dinamakan sempena nama baginda berdua dalam lawatan rasmi ke Singapura pada Julai lepas.

Singapura juga pernah menamakan orkid bersempena nama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali pada 2018. – Bernama