167 mangsa terjejas banjir di Padang Terap, Kubang Pasu

in Edisi Utara by

Gambar hiasan.

ALOR SETAR – Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Kedah malam Rabu bagi menempatkan 167 mangsa yang terjejas akibat banjir di daerah Padang Terap dan Kubang Pasu.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, kesemua mangsa yang terlibat terdiri daripada 51 keluarga dari dua daerah berkenaan.

“Dua PPS telah dibuka di daerah Padang Terap pada pukul 11.46 malam iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tualak yang menempatkan 43 orang daripada 15 keluarga manakala di SK Perik pula 33 orang daripada lapan keluarga berlindung di situ

“Hujan berterusan sejak 5 petang Rabu menyebabkan paras air Sungai Janing meningkat dan menyebabkan tiga kampung terjejas iaitu Kampung Perik, Kampung Labi dan Kampung Bendang Raja,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, beliau berkata di daerah Kubang Pasu, satu PPS iaitu SK Binjai dibuka pada pukul 10.30 malam bagi menempatkan 91 orang daripada 28 keluarga dari Kampung Telok, Kampung Bendang Dalam dan Kampung Tanjung. – Bernama