Ismail Sabri ingatkan BN jangan abai 5 juta pengundi baharu

in Politik by

Ismail Sabri (tiga, kanan) ketika tiba pada Majlis Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran serta Pelancaran Jentera BN Pahang. – Foto Bernama.

BERA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan jentera Barisan Nasional (BN) supaya tidak mengabaikan kuasa mengundi hampir lima juta pemilih baharu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri berkata, kebanyakan daripada mereka ini terdiri daripada pengundi tidak berparti dan kumpulan pengundi muda, justeru libat urus bersama mereka tegasnya perlu dipertingkatkan supaya mereka dapat menyokong BN.

Bercakap di hadapan kira-kira 6,000 penyokong BN, di sini, pada Khamis, Naib Presiden UMNO itu menyifatkan kumpulan ini sebagai undi yang penting dan tanpa sokongan mereka, sukar untuk BN menguasai kerajaan semula.

“Sebab itu saya harap kita semua sama-sama bekerja kuat bukan sahaja untuk mendapatkan pengundi putih supaya terus kekal bersama kita, tetapi juga mendapatkan sokongan daripada mereka yang atas pagar dan tidak berparti supaya menyokong kita.

“Insya-Allah kalau mereka sokong kita, pengundi putih kita kekalkan untuk terus sokong kita, Insya-Allah DUN (Dewan Undangan Negeri) yang kita pertandingkan, Parlimen yang kita pertandingkan pasti akan dikuasai kita, BN,” katanya.

Penyandang kerusi Parlimen Bera itu berkata demikian semasa berucap pada Majlis Solidariti, Kestabilan dan Kemakmuran bersama Perdana Menteri peringkat Pahang dan pelancaran jentera BN Pahang.

Turut hadir Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Bendahari Agung BN Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Selain itu, Ketua Pemuda BN Datuk Dr Asyraf Wajdi, Ketua Wanita BN Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Pengerusi BN Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Ismail Sabri turut memberi peringatan kepada jentera dan mereka yang bakal bertanding atas tiket BN untuk mempelajari pengajaran daripada PRU14 bahawa tidak ada parti yang boleh memberi jaminan kemenangan besar bagi menguasai kerajaan.

“Kita dah belajar daripada PRU14, tiada parti yang boleh memberi jaminan boleh menang (bentuk kerajaan), kita kena kerja kuat.

“Tuan-tuan, puan-puan kena kerja kuat untuk memastikan bukan sahaja Pahang dikekalkan dengan kerusi yang lebih besar, kalau boleh dua pertiga kerusi Pahang ini kita kuasai begitu juga dengan Parlimen,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 November, penamaan calon pada 5 November dan pengundian awal pada 15 November.