Mat Sabu terus pertahan Parlimen Kota Raja?

in Politik by

Mohamad Sabu

KUALA SELANGOR – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu tidak menolak kemungkinan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kota Raja pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mohamad Sabu berkata, keputusan beliau bertanding di mana-mana kerusi Parlimen masih belum ditentukan tetapi kemungkinan terus mempertahankan kerusi berkenaan.

“Saya belum tentu lagi bertanding di kerusi mana. Jangkaan di tempat lama, pengumumannya akan kita beritahu kemudian,” katanya ketika ditemui pada Jelajah Mega Harapan dan Pelancaran Jentera PRU15 Harapan Selangor di Padang Dewan Kampung Assam Jawa di sini pada Ahad.

Mohamad berkata, Amanah mempertaruhkan sebanyak enam kerusi Parlimen di Selangor pada PRU15.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, soal siapa calon parti itu masih belum dimuktamadkan sehingga diputuskan pada pengumuman calon Amanah di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur pada Ahad ini.

Ujar beliau, beberapa perkara perlu disemak antaranya status kebankrapan dan beberapa faktor lain sebelum ia dimuktamadkan.

“Malah, penyandang juga tidak semestinya menjadi calon Amanah untuk bertanding pada PRU15,” kata beliau.

Mengulas mengenai kemungkinan penyandang kerusi Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mempertahankan kerusi itu, Mohamad memberitahu, keputusan meletakkan Dzulkefly bergantung calon diletakkan BN.

“Jika BN meletakkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kita pertaruh Dzulkefly namun jika bukan Tengku Zafrul, kita (Amanah) akan meletakkan setaraf dengan beliau,” katanya.