Nahas helikopter: Khidmat PDU dihenti seketika

in Nasional by

Khairy Jamaluddin bertanya keadaan kesihatan salah seorang mangsa yang terbabit dalam nahas helikopter di HRPB, Ipoh.Khairy Jamaluddin

IPOH – Perkhidmatan Pasukan Doktor Udara (PDU), Pejabat Kesihatan Daerah Kinta akan dihentikan seketika bagi mendapatkan laporan penilaian keselamatan daripada sebuah syarikat perkhidmatan sewaan helikopter.

Penangguhan itu susulan daripada nahas helikopter jenis Airbus AS 355 F2 dengan nombor pendaftaran 9M-SSW membabitkan pasukan berkenaan telah terhempas di Hutan Simpan Bukit Kinta berhampiran Brinchang, Cameron Highlands pada Rabu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, penangguhan itu dipercayai hanya mengambil tempoh beberapa hari bagi membuat persiapan dan kesediaan pasukan bagi misi seterusnya.

“Saya tidak jangka perkhidmatan ini terganggu untuk tempoh lama, mungkin beberapa hari bagi mendapatkan kepastian sebelum pasukan kedua menyambung perkhidmatan ini secepat mungkin.

“Penting untuk kita dapatkan maklumat kepada syarikat sewaan helikopter itu tentang pelan mereka selepas ini, adakah mempunyai helikopter dan juruterbang yang lain, serta adakah mereka bersedia untuk memulakan kembali perkhidmatan ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat enam mangsa nahas helikopter di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada Khamis.

**media[1958909]**

Menurutnya, PDU ditugaskan untuk memberi perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di pedalaman terutama penduduk orang asli di Gua Musang, Kelantan dan daerah Hulu Perak setiap hari.

“Perkhidmatan ini sangat penting kepada penduduk-penduduk di perkampungan orang asli yang terputus fasiliti kesihatan kerana muka bumi mencabar selain jaraknya yang jauh.

“Kita ada dua pasukan, jadi saya minta taklimat dan kaunseling diberikan kepada pasukan kedua ini supaya mereka yakin untuk teruskan misi ini,” katanya

Tambah Khairy, pihaknya menyerahkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk melaksanakan siasatan lanjut berhubung insiden itu.

“Daripada dapatan awal, kejadian ini tidak berkaitan dengan helikopter sebaliknya disebabkan keadaan cuaca buruk.

“Juruterbang telah mengambil tindakan untuk melakukan pendaratan kecemasan berikutan keadaan cuaca ketika itu,” katanya.

Dalam kejadian sekitar jam 1.15 petang itu, mangsa yang terlibat, juruterbang helikopter, Fedzrol Norazam, 43, mengalami kecederaan di kepala; Munirah Abd Rahman, 53, cedera di bahagian belakang dan abdomen; Zainurol Fazlan Zainudin, 40, cedera di kepala; Muhamad Azlan Hanifah, 31, cedera di kepala.

Dua lagi mangsa yang mengalami cedera parah ialah Norhasikin Abu Seman, 38, patah kaki kanan dan Hashilawati Hussi, 43, mengalami kecederaan di tempurung lutut dan patah bahu kanan.

Helikopter yang membawa pasukan perubatan itu dalam perjalanan pulang selepas memberikan perkhidmatan perubatan di Kampung Gawin, Gua Musang, Kelantan.

Ketika kejadian helikopter terbabit sedang menuju ke Pengkalan Perkhidmatan Doktor Udara (PDU) Hospital Bahagia Ulu Kinta.

Seramai 127 anggota penyelamat daripada pelbagai agensi terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat kesemua mangsa.