Nik Omar bawa aura Tok Guru pikat pengundi Pasir Salak

in Politik by

Mohamad Maharani

IPOH – Langkah menamakan Nik Omar Nik Abdul Aziz untuk bertanding di Parlimen Pasir Salak pada PRU15 dijangka mengubah landskap politik kawasan yang merupakan kubu kuat kepada BN itu.

Ketua PKR Cabang Pasir Salak, Mohamad Maharani Md Tasi berkata, kehadiran anak bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat bakal memikat pengundi termasuk pengundi atas pagar di kawasan itu.

“Kita mengalu-alukan kedatangan beliau dalam meneruskan hasrat membawa legasi ayahnya dalam arena politik di Pasir Salak ini.

“Jadi, peluang PH untuk menang itu ada kerana yang menjadi fokus utama kita adalah kepada pengundi atas pagar.

“Kehadiran tokoh agama ini dapat menarik sokongan semua peringkat umur tambahan kawasan ini majoritinya adalah pengundi Melayu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.

Menurutnya, pencalonan Nik Omar akan menjadi faktor ‘wow’ di Perak selepas kehadiran Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Media melaporkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan Nik Omar mewakili PH untuk salah satu kerusi Parlimen di Perak.

Nik Omar, 57, merupakan anak lelaki sulung kepada Nik Aziz pernah dicalonkan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka di Kelantan pada 2018.

Pada PRU14 lalu, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berjaya mempertahankan kerusi itu dengan meraih 20,003 undi mengalahkan dua pencabar dari PH dan Pas dengan majoriti 7,712 undi.