Parlimen Tebrau paling ramai pengundi di Johor

in Nasional by

Taklimat SPR bersama petugas media di RTM Johor pada Khamis.

JOHOR BAHRU – Parlimen Tebrau merekodkan jumlah pengundi tertinggi di negeri ini iaitu seramai 223,301 orang.

Ia diikuti Parlimen Iskandar Puteri dengan jumlah pengundi seramai 222,437 orang seterusnya Parlimen Pasir Gudang (198,485), Pulai (165,313) dan Kulai (151,247).

Manakala pengundi paling rendah ialah di Labis iaitu seramai 49,846 pengundi, diikuti Sembrong (54,982), Pengerang (55,316), Ayer Hitam (61,041) dan Kota Tinggi (61,291).

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika taklimat SPR bersama media pada Khamis, seramai 2, 616,575 pemilih yang layak mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jumlah itu meliputi 2,593,562 pengundi biasa, undi awal 22,689 pengundi dan 324 adalah undi luar negara.

“Terdapat 4,781 jumlah saluran undi. Bagi jumlah pusat mengundi terdapat 1,087 pusat yang mana pusat undi awal ialah 63, manakala pusat undi biasa 1,024.

“Daripada jumlah keseluruhan pengundi di Johor, 169,919 daripadanya ialah pengundi muda berusia 18 hingga 20 tahun. Manakala 473,538 adalah pengundi warga emas berusia 60 hingga 90 tahun ke atas,” katanya.