Piala Malaysia medan KL City tebus kecewa

in Sukan by

KL City akan menentang Al-Seeb dalam perlawanan akhir Piala AFC pada 22 Oktober ini. Foto: Kuala Lumpur City

TIDAK mustahil buat Kuala Lumpur City FC (KL City) mengulangi kejayaan yang sama seperti yang dilakar pada edisi lalu di Piala Malaysia musim ini sekiranya kejohanan tertua di Malaysia itu dijadikan pentas untuk menebus kekecewaan pada final Piala AFC sebelum ini.

Keyakinan itu disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC, Stanley Bernard sambil mengakui pengalaman tersebut mampu untuk menaikkan semangat skuad warga kota itu sekali gus mampu untuk menjadi ubat yang mujarab bagi menghilangkan duka.

“Saya tidak terkejut sekiranya KL City mampu untuk mara ke final Piala Malaysia berdasarkan prestasi yang ditampilkan mereka dalam saingan Piala AFC. Namun ia bergantung kepada psikologi pada pemain ketika ini.

“Ini kerana, jika mereka ambil positif daripada kekalahan di final tempoh hari, bagi saya ia akan menjadi senjata yang kuat untuk meningkatkan semangat pemain kerana sudah tentu mereka mahu menebus kembali kekecewaan tersebut.

“Bagaimanapun, jika perkara sebaliknya berlaku ia sudah tentu bukan satu perkara yang baik buat pasukan.

“Jadi saya harap mereka dapat jadikan Piala Malaysia ini sebagai medan terbaik bagi merawat duka di Final Piala AFC sekali gus dapat menamatkan musim yang gemilang ini dengan indah,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Sebagai rekod, KL City yang turun dengan status sebagai juara bertahan bakal membuka kempen Piala Malaysia pada Khamis bertemu Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Pada final AFC baru-baru ini, KL City tewas 0-3 kepada kelab dari Oman, Al Seeb.

Dalam pada itu, Stanley ketika ditanya berkenaan status KL City turun sebagai juara bertahan, beliau mengakui gelaran itu sedikit sebanyak memberi tekanan kepada pasukannya.

Bagaimanapun beliau mengambil sebagai satu perkara yang positif sambil berharap momentum yang dimiliki ketika bersaing di Piala AFC sebelum ini dapat dikekalkan bagi mengharungi saingan Piala Malaysia.

“Sudah tentu turun sebagai status juara bertahan memang semua pihak akan meletakkan harapan yang tinggi kepada kami. Itu memang lumrah dan kami akan cuba menanganinya sebaik mungkin.

“Jadi saya berharap para pemain mampu mengekalkan momentum yang dimiliki ketika perlawanan Piala AFC apabila bertanding di kejohanan ini,”ujarnya.