PRU15: Harga tambang berkurang, penerbangan bertambah

in Nasional by

MAVCOM mendapati berlaku pengurangan harga tambang penerbangan domestik dan pertambahan kekerapan penerbangan. Gambar kecil: Saripuddin

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mendapati berlaku pengurangan harga tambang penerbangan domestik dan pertambahan kekerapan penerbangan syarikat penerbangan bagi tarikh perjalanan 16 hingga 20 November 2022 sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November depan.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, ia berdasarkan analisis dan semakan lengkap yang dilakukan pihaknya pada Selasa lalu.

“Kebanyakan tambang penerbangan semasa tempoh perjalanan PRU15 telah menyusut selepas lonjakan awal berikutan pengumuman tarikh PRU15. Berdasarkan semakan MAVCOM, purata tambang penerbangan domestik sehala merentasi semua syarikat penerbangan bagi laluan udara dalam Semenanjung Malaysia ialah RM185.

“Sementara itu, purata tambang penerbangan bagi laluan udara dalam Malaysia Timur ialah RM188 dan RM296 bagi laluan udara antara Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Saripuddin menjelaskan, pemerhatian suruhanjaya itu juga mendapati syarikat penerbangan telah memperkenalkan promosi dan melancarkan diskaun bagi tambang penerbangan untuk memudahkan pengguna bagi tujuan tu.

Menurutnya, terdapat juga skim diskaun sedia ada yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan khusus untuk pelajar dan langkah itu dilihat dapat membantu pengundi muda untuk keluar mengundi.

“Industri penerbangan telah menunjukkan sokongan bagi memudahkan pengundi menunaikan kewajipan mereka tanpa beban tambang penerbangan yang tinggi. Namun begitu, ia boleh ditambah baik dan adalah penting untuk syarikat-syarikat penerbangan memainkan peranan masing-masing untuk negara dalam tempoh kritikal ini.

“Analisis MAVCOM turut menunjukkan bahawa terdapat beberapa laluan udara sehala yang mempunyai tambang yang melebihi harga purata,” ujarnya.

Oleh itu, Saripuddin menggesa syarikat penerbangan untuk menambah lebih banyak kapasiti di laluan-laluan tersebut memandangkan permintaan yang tinggi semasa tempoh PRU15.

Katanya, tambahan lagi MAVCOM telah meminta syarikat-syarikat penerbangan menambah kapasiti bagi laluan-laluan udara yang beroperasi semasa tempoh tarikh perjalanan penerbangan PRU15 bagi memastikan sejumlah penerbangan telah tersedia ke pelbagai destinasi domestik pada harga yang berpatutan.

“Sebagai pengawal selia ekonomi dan komersial bagi industri penerbangan, MAVCOM komited untuk meluluskan semua permohonan laluan bagi tujuan PRU15 dan dalam melaksanakan mandat yang telah diberikan kepada suruhanjaya ini untuk kepentingan negara.

“Berdasarkan data yang telah dikemukakan kepada MAVCOM, semua syarikat penerbangan tempatan telahpun membuat perancangan untuk menambah penerbangan bagi tujuan PRU15 mulai November 2022 menggunakan sumber yang sedia ada,” tambahnya.

Saripuddin memberitahu, penerbangan tambahan yang dirancang termasuk 45 penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) ke lokasi-lokasi terpilih di Semenanjung Malaysia.

Jelasnya, khusus bagi penerbangan yang beroperasi dari Subang, 30 penerbangan tambahan telah dirancang ke destinasi-destinasi terpilih di Semenanjung Malaysia. Di samping itu, 68 penerbangan tambahan telah dirancang untuk penerbangan antara Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur.

Malaysia Airlines turut mengatur pelan untuk meningkatkan kapasiti ke destinasi-destinasi utama di Semenanjung dan Malaysia Timur menggunakan pesawat Airbus A330 berbadan lebar (wide-body) bagi menampung permintaan yang tinggi semasa tempoh perjalanan PRU15.

Selain itu, terdapat penerbangan tambahan yang dirancang ke destinasi terpilih di Malaysia Timur di bawah program Perkhidmatan Udara Luar Bandar, serta lima penerbangan tambahan yang dirancang antara Subang dan Seletar di Singapura.

“MAVCOM mengalu-alukan pelan tindakan ini oleh syarikat-syarikat penerbangan. Penambahan kapasiti yang dirancang mungkin berubah hampiri tarikh pilihan raya bergantung kepada sebab operasi dan permintaan pasaran keseluruhan.

“Walau bagaimanapun, Suruhanjaya akan memantau perkembangan industri dengan teliti untuk memastikan penerbangan ditawarkan pada harga yang berpatutan dan adalah mencukupi dan tersedia bagi memenuhi permintaan penerbangan bagi PRU15,” tegas beliau.