Tukang cuci terkejut jumpa janin dalam tandas masjid

in Edisi Terengganu by

Kariza menunjukkan lokasi penemuan janin di tandas di Masjid Labohan, Kerteh.

KEMAMAN – Rutin seorang tukang cuci membersihkan tandas di Masjid Labohan, Kerteh di sini dikejutkan dengan penemuan janin dianggarkan berusia empat bulan yang ditinggalkan bersama uri.

Kariza Muda, 49 berkata, dia terkejut apabila menemui janin yang dibiarkan di atas lantai di dalam sebuah tandas perempuan di masjid berkenaan.

“Seperti biasa saya masuk untuk cuci tandas dan terkejut apabila menemui janin di atas lantai. Memang sangat kecil tetapi boleh nampak pembentukan seperti janin lengkap berkepala.

“Walaupun panik saya meneruskan kerja dan mengalihkan ke tepi sebelum memaklumkan kepada ahli jawatankuasa masjid serta membuat laporan polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal berhubung kes berkenaan sedang dijalankan.

“Kita terima laporan sekitar jam 3.00 petang dan untuk siasatan awal kita cuba mencari mereka yang mungkin keguguran.

“Mungkin juga individu berkenaan tidak sedar janin terkeluar dan tertinggal di situ.

“Hasil pemeriksaan sistem kamera litar tertutup (CCTV) untuk hari ini tidak dapat mengesan pelaku dan kejadian dianggarkan berlaku pada sebelah malam,” katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan mungkin disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran sekiranya didapati janin berkenaan sengaja ditinggalkan.

“Kita akan membuat pemeriksaan di klinik kesihatan berhampiran sekiranya ada kes-kes keguguran dilaporkan.

“Ia termasuk membabitkan individu bawah umur dan buat masa sekarang janin berkenaan diserahkan kepada pihak forensik untuk tindakan selanjutnya,” katanya.