Wan Azizah yakin PKR mampu tawan semula Bandar Tun Razak

in Politik by

Dr Wan Azizah (kiri) ketika menyantuni penduduk di Medan Selera Desa Tun Razak, Kuala Lumpur pada Khamis.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah yakin partinya berpotensi tinggi untuk kembali merampas kerusi di Parlimen Bandar Tun Razak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Beliau yang merupakan antara nama disebut-sebut bakal bertanding di kerusi tersebut berkata, peristiwa yang menyaksikan dua penyandang di kerusi tersebut keluar parti juga tidak akan berulang.

“Insya-ALLAH tinggilah (potensi untuk menang). Kalau saya ini, saya ingat tidak jump (lompat) la,” katanya ketika ditemui pemberita semasa menyantuni orang ramai di Medan Selera Desa Tun Razak, di sini, pada Khamis.

Pada Rabu, PKR dilapor bakal menamakan Dr Wan Azizah yang juga bekas Presiden PKR sebagai calon di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.

Untuk rekod, PKR memenangi kerusi Bandar Tun Razak sejak 2008 menerusi Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang kemudiannya dilantik sebagai Menteri Besar Selangor.

Bagaimanapun, PKR bertindak memecat Abdul Khalid pada 2014 selepas beliau enggan memberi laluan kepada Dr Wan Azizah untuk menggantikannya sebagai Menteri Besar dalam krisis politik yang dikenali sebagai Langkah Kajang.

Pada 2018, PKR mencalonkan Datuk Kamaruddin Jaffar yang memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti hampir 20,000 dalam persaingan tiga penjuru membabitkan calon daripada BN dan Pas.

Kamarudin kemudian bertindak meninggalkan PKR bersama kumpulan yang diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Difahamkan, Dr Wan Azizah akan meninggalkan Parlimen Pandan pada PRU15 bagi memberi laluan kepada Timbalan Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli untuk kembali bertanding di kerusi tersebut.

Ketika ditanya berkenaan pencalonannya di kerusi tersebut pada pilihan raya kali ini, beliau yang juga merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu akan diumumkan oleh pucuk pimpinan parti.

“Itu kena official (rasmi) daripada pucuk pimpinan,” katanya ringkas.

Anwar pada Rabu dilaporkan berkata, calon rasmi PRU15 yang bakal bertanding mewakili parti itu akan diumumkan pada Jumaat.