71 peratus permohonan Peranti Siswa diluluskan di Kelantan

in Edisi by

Noraini bergambar bersama pelajar pada program KPT Prihatin dan Majlis Penyerahan Peranti Siswa Keluarga Malaysia di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa pada Jumaat.

KOTA BHARU – Sebanyak 14,253 permohonan kemudahan peranti di bawah Program Peranti Siswa Keluarga Malaysia diluluskan di Kelantan setakat 26 Oktober.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, jumlah itu mewakili 71 peratus daripada 20,080 permohonan pelajar dari universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan institusi pengajian tinggi swasta.

Menurut beliau, pengagihan Peranti Siswa di semua institusi pengajian tinggi kini sedang dilakukan dan proses itu akan dipercepatkan.

“Saya telah meminta proses kelulusan dan pengagihan ini dilakukan segera kerana tidak mahu pelajar menunggu lebih lama untuk mendapatkan peranti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Prihatin dan Majlis Penyerahan Peranti Siswa Keluarga Malaysia di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Pengkalan Chepa pada Jumaat.

Noraini turut menyerahkan Peranti Siswa kepada 40 penerima yang mewakili pelajar dari universiti awam dan institusi pengajian tinggi swasta di Kelantan.

Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Naib Canselor UMK, Profesor Dr Razli Che Razak.

Pada majlis sama, Noraini merasmikan Majlis Pelancaran Program Kembara Keluarga Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Tahun 2022 Peringkat Negeri Kelantan dan Penyampaian Sumbangan Akaun Simpan SSPN Prime.

Beliau berkata, program itu bertujuan membantu pelajar asnaf dalam aspek pendidikan serta galakan awal memulakan penabungan.

“Ia melibatkan sumbangan zakat Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada 17,800 pelajar asnaf di 178 kawasan terpilih seluruh negara.

“Sumbangan diberikan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.78 juta,” katanya.

Selain itu, Dr Noraini turut menyempurnakan pelancaran Program Keahlian Pra-U@UMK.

“Kad keahlian ini membolehkan perpustakaan di universiti menjadi pusat sehenti bagi masyarakat mendapatkan perkhidmatan seperti carian bahan rujukan dan penyelidikan,” katanya.