Amanah Perak tidak senaraikan Nik Omar

in Politik by

Asmuni (duduk, tengah) mengumumkan senarai calon-calon Amanah Perak yang mewakili PH pada PRU15 di Ipoh.

IPOH – Parti Amanah Negara (Amanah) Perak tidak menyenaraikan Nik Omar Nik Abdul Aziz sebagai calon bertanding mewakili PH di Perak pada PRU15.

Perkara itu disahkan ketika Majlis Pengumuman Calon Amanah bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) mewakili PH di Wisma Amanah di sini pada Jumaat.

Pengarah Pilihan Raya Amanah Nasional, Datuk Asmuni Awi berkata, pihaknya tidak mempunyai maklumat berhubung perkara itu.

“Nik Omar, itu saya tidak tahu. Saya tidak mempunyai maklumat mengenai perkara ini. Lebih baik anda semak dengan beliau sendiri,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Amanah, Mohd Hasbie Muda memaklumkan calon PH, Nik Omar masih ahli parti itu meskipun PKR mengumumkan pencalonan anak bekas menteri besar Kelantan itu.

Media melaporkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan Nik Omar, anak kepada bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai salah seorang calon di bawah kuota parti itu.

Nik Omar merupakan pemimpin politik Amanah, yang ditawarkan sebagai calon di salah sebuah kerusi Parlimen di Perak.