Bekas presiden MCA antara calon Warisan di Semenanjung

in Politik by

Mohd Shafie

TENOM – Seorang bekas Presiden MCA merupakan antara calon Warisan yang akan mewakili parti itu bertanding di Semenanjung pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, selain itu, ada lagi bekas pemimpin dan ahli parti utama seperti MCA, PKR dan UMNO yang akan bertanding mewakili parti itu pada PRU15 di Semenanjung.

“Saya umumkan calon Warisan di Semenanjung ialah bekas Presiden MCA. Saya umumkan calon di Perlis ialah bekas (ahli/pemimpin) UMNO, saya akan umumkan calon di Wangsa Maju (ialah) bekas (ahli/pemimpin) PKR. Semua boleh bergabung di bawah Warisan,” katanya ketika melancarkan jentera pilihan raya parti itu bagi Parlimen Tenom di sini pada Jumaat.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan bekas Presiden MCA itu.

Pada 13 Oktober lepas, Mohd Shafie dilapor berkata, Warisan akan bertanding di semua 25 kerusi Parlimen di Sabah serta satu di Labuan selain mengenal pasti beberapa kerusi di Johor, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Selangor dan Perak yang berpotensi untuk ditandingi.

Di Keningau, ketika bercakap kepada pemberita selepas melancarkan jentera pilihan raya Warisan bagi Parlimen Keningau serta Pensiangan, Mohd Shafie berkata, beliau akan mengumumkan calon parti itu pada 1 November bagi Semenanjung dan 3 November untuk Sabah.

“Saya akan ke Semenanjung umum calon (Warisan) pada 1 November, di Sabah pada 3 November,” katanya.

Beliau berkata, semua parti yang bertanding pada PRU15 terutama di Sabah perlu menyuarakan isu rakyat sebagai yang utama dan bukan hanya sekadar berjanji memberikan ‘gula-gula’ pilihan raya.

“Apa yang penting kita suarakan sebelum ini seperti MA63 (Perjanjian Malaysia 1963), membangun umat, rakyat Malaysia mahukan kehidupan, pekerjaan, (turun) harga barang, juga sekolah dan hospital yang baik,” katanya. – Bernama