Belum ada perbincangan calon TPM dari Sabah

in Politik by

Yakub (tengah) ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Program Digitasi Rekod Mahkamah Anak Negeri (MAN) di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU – Belum ada sebarang perbincangan dilakukan setakat ini berhubung calon Timbalan Perdana Menteri (TPM) di peringkat negeri Sabah.

Timbalan Pengerusi BN Sabah, Datuk Yakub Khan berkata, BN Sabah mengalu-alukan jawatan TPM diwujudkan di Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

“Secara peribadi perkara ini sangat baik. Cuma kita harapkan sekiranya perkara ini dapat kita laksanakan, biarlah jawatan TPM itu ada kuasa bukan sekadar perhiasan.

“Setakat ini belum dibincangkan (di peringkat negeri) dan tiada (bincang calon TPM),” katanya ketika ditanya pemberita selepas hadir pada Majlis Perasmian Program Digitasi Rekod Mahkamah Anak Negeri (MAN), di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung kenyataan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menyatakan bahawa jawatan TPM akan dimasukkan ke dalam manifesto BN Sabah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ditanya mengenai agihan kerusi BN-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Yakub memaklumkan bahawa perbincangan mengenainya sudah berada di peringkat akhir dan hanya tinggal untuk dimuktamadkan saja.

“Berkenaan calon, terpulang kepada parti masing-masing tetapi dalam perbincangan kita telah menyatakan agar calon yang diletakkan sama ada dalam kerusi BN mahupun GRS perlu dibincang bersama agar ia adalah calon terbaik mewakili GRS dan BN itu sendiri,” katanya.