DAP tambah kerusi di Perak, lebih ramai calon Melayu

in Politik by

Keseluruhan lapan calon DAP akan bertanding di kerusi Parlimen dan 19 DUN di Perak bagi mewakili PH.

IPOH – DAP menambah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen di Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Penambahan itu membabitkan DUN Changkat Jong dan Parlimen Gerik yang merupakan kawasan majoriti pengundi Melayu.

Penambahan itu menjadikan keseluruhan lapan calon DAP di kerusi Parlimen dan 19 DUN bagi mewakili Pakatan Harapan (PH).

Selari dengan penambahan kerusi itu, DAP turut mengetengahkan dua lagi calon Melayu bagi mengisi kedua-dua kerusi tersebut yang merupakan kawasan majoriti pengundi Melayu.

Dalam majlis pengumuman calon PH-DAP Perak pada malam Jumaat, Badrul Hisham Badarudin diumum sebagai calon di DUN Changkat Jong manakala Ahmad Tarmizi Mohd Jam bagi kerusi Gerik.

Selain dua calon berkenaan, DAP turut mengekalkan penyandang kerusi DUN Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari untuk bertanding semula di kerusi sama.

Pada pilihan raya lalu, DAP Perak mencalonkan Abdul Aziz di kerusi DUN Tebing Tinggi.

Menjadi satu-satunya wakil Melayu dalam parti yang bertanding, Naib Pengerusi DAP itu menang dengan majoriti 3,927 undi dalam saingan tiga penjuru menewaskan calon BN dan Pas.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dalam wawancara eksklusif Sinar Harian sebelum ini memaklumkan parti itu sedia mengetengahkan lebih ramai calon Melayu pada PRU15 ini.

Langkah itu bagi mengisi kekosongan kerusi yang sebelum ini ditandingi calon dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selain sebagai usaha memperkasakan kepelbagaian dalam kepimpinan DAP.

Pada PRU14 lalu, DAP menang di semua 18 kerusi DUN yang ditandingi sekali gus membantu pembentukan kerajaan PH di Perak bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Kerusi berkenaan adalah DUN Pokok Assam, Aulong, Jalong, Canning, Tebing Tinggi, Pasir Pinji, Bercham, Kepayang, Buntong, Jelapang, Menglembu, Tronoh, Malim Nawar, Keranji, Pantai Remis, Astaka, Sungkai dan Pasir Bedamar.

DAP Perak juga menang di semua tujuh kerusi Parlimen ditandingi iaitu Ipoh Timor, Ipoh Barat, Kampar, Batu Gajah, Teluk Intan, Beruas dan Taiping.

Semua kerusi tersebut merupakan majoriti pengundinya Cina dan campuran.