DAP tidak maklum ini penggal akhir saya: Charles

in Politik by

Ciapan Charles di Twitter pada Jumaat.

SHAH ALAM – “DAP tidak pernah memaklumkan kepada saya bahawa tahun 2018 adalah kali terakhir saya bertanding sebagai calon.

“Itu ciapan bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago di Twitter berkenaan penggugurannya sebagai calon DAP untuk bertanding kerusi Parlimen Klang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.

Beliau menerusi satu bebenang di Twitter turut memaklumkan tiada aturan atau petunjuk untuk menggantikannya pada 2013 atau 2018, seperti yang dicadangkan oleh Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo.

“Saya gembira kerana Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Gobind mengiktiraf kemurahan hati, yang mana saya telah menerima keputusan parti.

“Tapi malangnya mereka menggunakan kenyataan tersebut memandangkan (menerima) kritikan yang kuat.

“Terlalu pedih untuk saya menulis ini kerana saya berazam untuk memastikan kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU15 ini dan ingin melihat DAP berjaya,” katanya pada Jumaat.

Dalam pada itu, Charles menegaskan hasratnya menyertai politik adalah untuk memajukan agenda rakyat dan memberi suara kepada mereka yang tidak boleh bercakap untuk diri sendiri. Oleh itu, beliau memilih parti DAP kerana ia platform terbaik untuk berbuat demikian.

“DAP adalah platform yang saya pilih dan terbaik untuk berbuat demikian. Saya bukan dalam politik untuk membina puak saya,” katanya.

Pada Khamis, penyandang kerusi Parlimen Klang selama tiga penggal itu digugurkan sebagai calon DAP pada PRU15. Anthony berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemuning, V Ganabatirau akan menggantikan posisi Charles pada PRU kali ini.