Ezam dijangka lawan Tun M di Langkawi?

in Politik by

Ezam, Dr MahathirSenarai calon PH Kedah tular sejak Khamis.

ALOR SETAR – Kurang daripada 48 jam pengumuman calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen di Kedah dijangka diumumkan kepimpinan tertinggi parti, tular senarai penuh calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November depan.

Senarai calon berkenaan tular sejak Khamis manakala pengumuman calon PH dijadualkan diadakan pada malam Jumaat di Merbok, Sungai Petani.

Berdasarkan senarai tular, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka meletakkan calon di sembilan kerusi manakala enam kerusi diperuntukkan kepada wakil Parti Amanah Negara (Amanah).

DAP yang merupakan rakan komponen gabungan itu masih belum diberikan peluang untuk bertanding kerusi Parlimen di Kedah, walaupun terdapat desas-desus DAP akan diberikan peluang di Parlimen Jerai pada PRU15 ini.

Berdasarkan senarai tular berkenaan, PH Kedah dijangka membawa beberapa calon import bagi memberi saingan sengit di beberapa lokasi panas, khususnya Parlimen Langkawi.

Spekulasi yang menyebut bekas Setiausaha Politik Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Datuk Ezam Mohd Nor disenaraikan sebagai antara calon terbaik untuk menandingi penyandang kerusi Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Biarpun telahan itu dilihat ada asasnya, namun tidak dapat dipastikan Pengerusi Pertubuhan Perubahan Rakyat Malaysia (Gerak) itu akan bertanding atas tiket bebas atau ‘ditaja’ oleh PKR.

Ini kerana berdasarkan kenyataan Gerak pada 14 Oktober, menyatakan Ezam bersedia bertanding sebagai calon bebas atau calon bagi mana-mana parti yang sudi memberikan laluan kepadanya di kerusi terbabit.

Tiga nama besar yang merupakan penyandang di kerusi masing-masing dikekalkan bagi memastikan kemenangan terus berpihak kepada PKR.

Mereka ialah Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Kulim Bandar Baharu.

Beliau sebelum ini pernah memberi bayangan akan mempertahankan kawasan tersebut namun menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk keputusan akhir.

Dua lagi calon yang disenaraikan masing-masing ialah Dr Azman Ismail (Kuala Kedah) dan Nor Azrina Surip di Parlimen Merbok, berdasarkan ketokohan masing-masing.

Senarai tular tersebut turut menyenaraikan tiga calon muka baharu yang sudah lama menyumbang dalam parti selain dikenali kalangan penduduk setempat, iaitu Naib Pengerusi PKR Kedah, Simon Ooi Tze Min (Alor Setar), Datuk Muhd Zaiemuddin Osman (Baling) dan M Karupaya (Padang Serai).

**media[1959950]**

Dua calon muda yang menjadi taruhan ialah Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Dr Taufik Johari di Parlimen Sungai Petani, biar pun ada ura-ura Naib Pengerusi 1 PKR Kedah, Datuk Dr Zulkifly Mohamad bakal dipertaruhkan sebagai calon.

Manakala Timbalan Ketua Cabang Kubang Pasu yang juga Pengarah Komunikasi PKR Kedah, Aizuddin Ariffin di Kubang Pasu.

Sumber PKR memberitahu, hampir 50 peratus nama-nama disenaraikan itu dijangka dalam senarai akhir walaupun sebahagian telahan tidak begitu tepat.

Calon Amanah dalam senarai tular berkenaan menampilkan Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar yang juga Pengerusi PH Kedah kekal bertanding di Pokok Sena.

Manakala nama lain yang disenaraikan ialah Dr Fadzil Ali (Jerlun), Zaharan Abdullah (Jerai), Mohd Khairizal Khazali (Padang Terap), Datuk Dr Zulkefli Mohamad (Pendang) selain calon wanita di Sik.

Timbalan Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh bagaimanapun tidak menolak parti itu akan mempertaruhkan calon import seperti kebiasaan.

“Memang ada kemungkinan bawa calon import, macam PRU-PRU lepas. Kebiasaan, kita kemukakan nama calon daripada kawasan diangkat ke atas, ada ketikanya calon-calon tersebut tidak cukup wibawa untuk tanding kerusi Parlimen, kita dan pemimpin nasional berunding untuk pastikan pilih calon terbaik,” katanya.

Menurutnya, hanya calon yang terbaik dan diyakini boleh menang akhirnya diputuskan bagi memastikan kemenangan PH.

“Sebab itu sentiasa ada perbincangan dengan pemimpin Pusat walaupun negeri sudah ada nama yang dicalonkan. Akhirnya keputusan muktamad dibuat di peringkat nasional,” ujarnya kepada Sinar Harian.