Lawatan Agong ke Singapura kukuhkan lagi hubungan dua hala

in Nasional by

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan berangkat ke Majlis Santapan Malam bersama Diaspora Malaysia di Singapura di sebuah hotel pada Khamis.

SINGAPURA – [DIKEMAS KINI] Lawatan negara Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Singapura mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan republik itu yang telah terjalin sejak 57 tahun lepas.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, ini kerana Al-Sultan Abdullah selaku Ketua Negara menunjukkan kepakaran dalam hubungan diplomasi yang baik antara Seri Paduka dan barisan pemimpin Singapura.

Beliau berkata, Seri Paduka berupaya membincangkan isu-isu semasa yang berkaitan antara kedua-dua negara, malah pada masa sama turut memberi kaedah penyelesaian melalui mekanisme sedia ada.

“Keupayaan Yang di-Pertuan Agong dalam urusan diplomasi cukup menyerlah, kerana Seri Paduka mendapat pendedahan khususnya dalam bidang hubungan antarabangsa semasa belajar di United Kingdom selepas Royal Military Academy Sandhurst.

“…juga semasa (Al-Sultan Abdullah) menerajui FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan pernah menjadi jawatankuasa eksekutif kepada FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) dan juga Naib Presiden Konfederasi Bola Sepak Asian (AFC).

“Pengalaman Seri Paduka ini memberi titik perbualan antara Ketua Negara dan pemimpin-pemimpin Singapura seperti Perdana Menteri, Lee Hsien Loong,” katanya kepada Bernama dan RTM bagi merumuskan lawatan negara itu di sini.

Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat mengadakan lawatan negara ke Singapura bermula pada 25 Oktober lepas hingga hari ini.

Lawatan negara itu juga atas undangan Presiden Singapura, Halimah Yacob.

Dalam lawatan negara itu, Seri Paduka berdua antaranya mengadakan lawatan ke Asian Civilisations Museum dan Edible Garden City pada 25 Oktober, selain mengadakan pertemuan dengan Halimah dan Lee keesokan harinya, serta berangkat ke Majlis Santapan Malam bersama diaspora Malaysia, semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadil berkata, Yang di-Pertuan Agong telah menzahirkan perkenan Seri Paduka bahawa lawatan negara itu amat baik dengan berpeluang mengadakan pertemuan kali kedua bersama Halimah dan Lee pada tahun ini.

“Apa yang menarik adalah keupayaan Yang di-Pertuan Agong bersama Raja Permaisuri Agong berbincang secara bersahaja antara Ketua Negara dan pemimpin-pemimpin kerajaan Singapura, dengan topik-topik dibincangkan melibatkan topik semasa dan terdahulu.

“Perkara ini telah menunjukkan keakraban antara kedua-dua pemimpin negara dalam konteks berjiran antara Malaysia dan Singapura,” katanya menambah sehinggakan sesi pertemuan antara Seri Paduka dan pemimpin Singapura yang dijadual mengikut ketetapan tertentu dilanjutkan tempoh masanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar berkata, Al-Sultan Abdullah telah bertitah menjemput Halimah untuk mengadakan lawatan negara ke Malaysia sebelum penggal beliau sebagai Presiden Singapura tamat tahun depan.

“Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian ketika pertemuan antara Seri Paduka dan Presiden Singapura pada Rabu lepas, bagaimanapun tarikh lawatan negara Halimah ke Malaysia akan ditentukan kelak,” katanya. – Bernama