Mastura antara 126 calon BN Perak

in Politik by

Saarani (tengah) bergambar dengan para mahasiswa pada majlis pelancaran Program Mahasiswa Perak Sejahtera di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) pada Jumaat.

KUALA KANGSAR – Penyandang kerusi Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Mohd Yazid antara 126 orang yang dicalonkan mewakili BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, semua nama calon termasuk penyandang sudah dihantar ke ibu pejabat UMNO Pusat.

“Tujuan hantar nama itu bagi membolehkan mereka membuat saringan dengan CTOS, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Insulasi.

“Keputusan muktamad siapa yang menjadi calon belum lagi. Tiada siapa termasuk saya sendiri pun belum pasti akan menjadi calon. Jadi kita tunggu sahaja selagi belum mendapat watikah yang ditandatangi oleh Presiden parti.

“Selagi tidak mendapat watikah, sesiapa pun termasuk penyandang kerusi tidak mengetahui kedudukan mereka sama ada dapat menjadi calon atau tidak,” katanya ketika sidang media selepas majlis Pelancaran Program Mahasiswa Perak Sejahtera di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) pada Jumaat.

Saarani berkata demikian mengulas kedudukan Mastura yang menjadi Ahli Parlimen Kuala Kangsar setelah memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2016 dan PRU14.

Saarani berkata, ada juga dalam senarai calon itu mereka yang menarik diri daripada bertanding kerana masalah kesihatan dan faktor umur lebih 60 tahun.

Beliau bagaimanapun enggan menyebut calon terbabit.

Perak mempunyai 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 24 kerusi Parlimen.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November ini sebagai hari pengundian bagi PRU15 manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 5 dan 15 November depan.

Sementara itu Saarani berkata, USAS menjadi universiti pertama melancarkan program memberikan bantuan makanan kepada mahasiswa dan mahasiswi.

Katanya, program berkenaan akan diteruskan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Katanya, bantuan itu diberikan kepada pelajar dalam kategori B40 dan asnaf bagi membolehkan mereka membeli makanan.

“Anak muda berumur 18 tahun kita tahu mereka kuat makan dan mereka memerlukan makanan berkhasiat, berkualiti dan mencukupi agar tidak menjejaskan tumpuan dan prestasi dalam pelajaran.

“Pelajar akan mendapat bantuan melalui E-Walet sebanyak RM150 sebulan untuk membeli makanan,” katanya.

Saarani berkata, kerajaan negeri mendapat dana daripada beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk membiayai bekalan makanan berkhasiat untuk pelajar.

Selain itu katanya, Saarani bekas mahasiswa yang menjadi usahawan boleh dilatih menyertai Skim Keusahawanan untuk membekalkan barangan bagi tujuan itu.