Pas wajibkan calon angkat sumpah tak khianati amanah

in Politik by

Abdul Hadi Awang (Catatan Minda Presiden Pas di Facebook Abdul Hadi pada Jumaat.)

SHAH ALAM – Pas akan menapis semua calonnya yang dicadangkan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan mewajibkan mereka melakukan baiah (janji setia) dan bersumpah dengan nama ALLAH SWT untuk tidak menyeleweng dan mengkhianati amanah apabila menjadi pemimpin.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, sebelum itu, setiap calon berkenaan juga wajib mendapat pengesahan Majlis Syura Ulama.

Menurutnya, al-Quran meletakkan acuan pemerintahan negara yang dijanjikan bersih dan stabil dengan syarat pemimpin mestilah beriman dan mengerjakan amal soleh dengan niat ikhlas kerana ALLAH.

“Pas berusaha memenuhi syarat-syarat tersebut dengan menapis semua nama calon-calon yang dicadangkan bertanding dalam pilihan raya.

“Selain itu, Pas juga pernah menubuhkan satu Jabatan Hisbah yang diketuai oleh Almarhum Tun Mohamed Salleh Abas dan membuat persediaan untuk memperkasakan undang-undang syariat Islam.

“Akan tetapi, usaha tersebut dihalang oleh bidang kuasa kerajaan negeri yang terbatas dan bidang kuasa kerajaan pusat yang membatalkannya. Maka, tujuan Pas bagi mewujudkan kerajaan yang bersih dan stabil terhalang ketika itu,” katanya dalam catatan Minda Presiden Pas di Facebook beliau pada Jumaat.

Bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Marang itu menegaskan, sehingga kini, Pas telah berjaya membuktikan kerajaan yang bersih daripada rasuah, apabila memerintah dengan kuasa yang terbatas di Negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Abdul Hadi memberitahu, ia termasuklah berjaya mengemudi beberapa kementerian yang ditugaskan kepada Pas mulai tahun 1974 hingga 1978 ketika menyertai kerajaan campuran pada era Almarhum Tun Abdul Razak dahulu, dan terkini dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Dalam tempoh yang paling lama, Pas memerintah di Kelantan sebanyak dua kali, pertamanya dari tahun 1959 hingga 1978 dan kali kedua pada tahun 1990 sehingga kini yang sudah lebih 30 tahun.

“Adapun di Terengganu, Pas memerintah sebanyak tiga kali, kali pertama dari 1959 hingga 1961, kali kedua dari 1999 hingga 2004 dan kali ketiga dari 2018 sehingga kini. Di Kedah, Pas memimpin kerajaan campuran dari 2008 hingga 2012 dan dari 2020 hingga kini,” ujar beliau.

Tambah Abdul Hadi, semua kerajaan negeri yang ditadbir oleh Pas, bersih daripada tuduhan rasuah dan terbuka bebas kepada tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut beliau, keadaan itu sangat berbeza dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di beberapa negeri dan peringkat pusat yang ternyata mempunyai tuduhan rasuah, malah dihentikan perbicaraan dan siasatannya.

“Dalam BN juga ada yang telah dihukum, dituduh dan diseret dengan tuduhan rasuah ke mahkamah, tetapi tidak dibatalkan kes mereka sepertimana PH.

“Perikatan Nasional (PN) yang disertai oleh Pas belum terbukti adanya mereka yang dikenakan tuduhan dan tiada pula yang dibawa ke mahkamah,” jelas beliau.

Dari sudut kestabilan pula, Abdul Hadi memberitahu, kestabilan boleh dilihat di negeri-negeri yang mempunyai pendidikan agama yang banyak dan menjadi kubu Pas kerana masih terpeliharanya akhlak Islam.

Sebelum ini BN terlebih dahulu mengumumkan calon PRU15 parti itu akan disaring secara menyeluruh termasuk semakan akan dilakukan di pejabat agama.

Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu pertama kali diperkenalkan dalam PRU kali ini kerana parti tidak mahu sebarang isu berbangkit membabitkan calon termasuk mempunyai rekod berkahwin di Siam.