Polis Thailand nafi lelaki Malaysia dakwa diculik di Songkhla

in Global by

Polis Thailand menafikan dakwaan seorang ahli perniagaan Malaysia bahawa dia diculik di Songkhla baru-baru ini.

BANGKOK – Polis Thailand pada Jumaat menafikan dakwaan seorang ahli perniagaan Malaysia bahawa dia diculik di Songkhla baru-baru ini.

Timbalan ketua polis pelancong dan jurucakap, Mejar Jeneral Apichart Suriboonya berkata, lelaki berusia 46 tahun itu sebenarnya melarikan diri daripada polis selepas ditahan kerana menghisap baraku di tepi jalan di Sadao pada 19 Oktober.

Merokok baraku (juga dikenali sebagai hookah) dilarang di Thailand dan lelaki itu ditahan hasil maklumat awam.

“Siasatan mendapati pegawai polis imigresen dan pelancong telah mengarahkan lelaki itu pergi ke Pusat Khidmat Pelancong untuk siasatan lanjut. Namun dia tidak mahu memberi kerjasama mahupun menunjukkan dokumen perjalanannya kepada pegawai.

“Lelaki itu kemudiannya bersetuju untuk menaiki trak pikap polis untuk ke Pusat Khidmat Pelancong,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, Apichart berkata, lelaki itu melompat dari trak ketika kenderaan polis berkenaan membelok dan dua hari kemudian pada 21 Oktober dia meninggalkan Thailand. Lelaki itu masuk semula ke negara itu pada 24 Oktober dan membuat laporan mendakwa dia diculik.

Sebaik polis mengetahui lelaki itu telah kembali ke Thailand, Apichart berkata, polis pelancong Songkhla menyerahkan semua bukti kepada detektif di balai polis Sadao untuk pendakwaan. – Bernama