PRU15: Polis Perak sudah kenal pasti lokasi panas

in Edisi by

Mohd Yusri menunjukkan sebahagian barang kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak terdiri daripada pelbagai jenis dadah yang akan dilupuskan.

IPOH – Polis Perak telah mengenal pasti beberapa lokasi panas di negeri itu yang perlu diberi perhatian sepanjang berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, semua lokasi berkenaan dikenal pasti dengan bantuan Bahagian Cawangan Khas mengambil kira risiko berlakunya kekecohan dan provokasi yang melibatkan penyokong parti.

Menurutnya, bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini, polis akan meningkatkan pemantauan di semua lokasi berkenaan dan menambah keanggotaan bagi tujuan kawalan.

“Perincian kawasan-kawasan ini akan kita berikan dalam sidang media khas nanti.

“Namun secara dasarnya, persiapan telah kita buat termasuklah menambah keanggotaan di kawasan itu untuk memastikan kelancaran pilihan raya berjalan dengan teratur dan mengikut peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan undang-undang polis itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program pelupusan barang kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Jumaat.

Mohd Yusri berkata, seramai 7,343 pegawai dan anggota polis Perak ditugaskan sepanjang PRU15 ini dengan 1,401 daripadanya diatur gerak bagi operasi khas bencana alam dan banjir.

Katanya, polis juga bekerjasama rapat dengan SPR dan pelbagai agensi lain bagi memastikan PRU15 ini dapat dijalankan dalam suasana matang dan berdisiplin.

“Jadi kita nasihatkan kepada semua parti dan calon bertanding untuk saling mengingatkan penyokong mereka mematuhi arahan pihak berkuasa.

“Kita tak mahulah berlaku pelbagai provokasi yang akan mendatangkan masalah dan situasi tidak tenteram kepada orang ramai,” katanya.

Perak mempunyai 24 kerusi Parlimen dan 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).