'Terima kasih Pas kerana tunaikan janji'

in Edisi by

Norul Zatu Akmal menunjukkan lesen B2 yang diterimanya.Ghani memasang bendera Pas pada dinding markas di Kampung Batu Hampar.

KUALA TERENGGANU – Penerima manfaat manifesto Pas yang dibuat pada Pilihan Raya Umum (PRU14) melahirkan rasa syukur dan lega apabila menjadi sebahagian daripada penerima ‘janji-janji’ parti itu sepanjang tempoh pemerintahan Pas di Terengganu.

Norul Zatu Akmal Adam, 32, berkata, dia bersyukur menjadi penerima lesen memandu kategori B2 secara percuma seperti yang dijanjikan Pas pada PRU lalu.

“Saya memang ada rancang nak dapatkan lesen memandu untuk motosikal tetapi apabila kerajaan mengumumkan secara percuma saya terus daftar dan alhamdulillah walaupun tertangguh hampir setahun kerana pandemik, akhirnya pada Mac tahun ini saya memiliki lesen sendiri.

“Jika perlu dibiaya sendiri, mungkin dalam RM300 untuk dapatkan lesen. Apabila percuma, wang itu dapat digunakan untuk tujuan lain. Alhamdulillah dan terima kasih kerana menunaikan janji,” katanya.

**media[1960305]**

Fatimah Mamat, 65, pula berkata, penantiannya untuk mendapatkan geran tanah di atas tanah lot yang diduduki sejak lapan tahun lalu tertunai ketika pemerintahan Pas di Terengganu.

“Alhamdulillah pada tahun 2020 saya memiliki geran tanah di atas nama sendiri. Lega kerana sebelum ini bimbang tapak kediaman diambil semula.

“Dulu memang tak senang duduk apabila tidak ada geran, sekarang walaupun perlu mengeluarkan sedikit wang untuk dapatkan geran, saya sangat bersyukur. Terima kasih kerana menyediakan khidmat seperti ini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Pas Cawangan Batu Hampar, Ghani A Wahab berkata, selaku penyokong parti itu, beliau bersyukur kerana janji-janji Pas pada PRU14 dapat ditunaikan sepenuhnya.

“Inilah yang kita mahukan. Sebuah kerajaan yang dapat menunaikan janji-janji kepada rakyat.

“Sebagai salah seorang pemimpin di peringkat kampung, saya sentiasa memastikan setiap bantuan akan sampai kepada penduduk yang layak.

“Pada PRU15 kali ini, saya berharap lebih banyak manifesto dibuat Pas dan sudah pasti kami selaku akar umbi akan memberi kerjasama sebaik mungkin,” katanya yang akan menjadikan kejayaan merealisasikan manifesto PRU14 sebagai salah satu ‘senjata’ untuk berkempen.

Pada pagi Jumaat, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi laman Facebooknya menzahirkan ucapan tahniah kepada Pas Negeri Terengganu dan kerajaan negeri Terengganu pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar atas kejayaan menunaikan semua manifesto yang telah dijanjikan pada PRU14.

Katanya, kejayaan itu sekali gus menunjukkan Pas sentiasa komited dalam mengotakan janji-janji yang telah dibuat kepada rakyat.

Nasihat beliau kepada semua wakil rakyat Pas, teruskan bekerja keras dalam menunaikan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat yang telah memberikan kepercayaan kepada Pas.

“Semoga rakyat dan negeri sentiasa mendapat limpahan berkat dan pertolongan daripada ALLAH SWT,” katanya.

Pada PRU14 lalu, Pas menyenaraikan 20 manifesto antaranya bantuan RM300 untuk pemuda dan pemudi mendapatkan lesen motosikal, membuka permohonan tanah untuk rakyat Terengganu dan memberi geran kekal kepada yang layak.