Tidak mustahil PN mampu tawan Pahang

in Politik by

Saifuddin (tengah) melancarkan jentera PRU15 PN Parlimen P84 Paya Besar di Dewan D’Persada Baroqah di sini pada malam Khamis.Saifuddin

KUANTAN – Perikatan Nasional (PN) tidak mustahil mampu menawan Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, keyakinan itu disuarakan selepas melihat kekuatan gabungan dalam PN dan kesepakatan yang jitu antara parti dalam komponen.

“Ada yang ada tanya boleh ke PN menang di Pahang? Saya kata Bersatu tiada kerusi dan kami tiada kerusi menang dalam DUN (Dewan Undangan Negeri). Tapi pas ada lapan kerusi DUN pada pilihan raya lalu.

“Tidak silap saya Pas hampir menang 11 kerusi atau lebih, itu termasuk di DUN Semambu dalam Parlimen Indera Mahkota. Kalau campur kerusi yang Pas kalah tipis, PN boleh menerajui Pahang,” katanya ketika berucap ketika pelancaran jentera PRU15 PN Parlimen P84 Paya Besar di Dewan D’Persada Baroqah di sini pada malam Khamis.

Beliau turut merasmikan pelancaran jentera PRU15 PN Parlimen Paya Besar yang turut dihadiri Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar dan wakil daripada Parti Gerakan.

Sementara itu, pihaknya turut menjanjikan sebuah kerajaan yang berintegriti dan bersih, jika dapat membentuk kerajaan pada PRU15.

Kata Saifuddin, hanya PN yang boleh membangkitkan dan memberi jaminan pemerintahan yang bebas rasuah.

**media[1959681]**

“Yang kita janjikan adalah kerajaan yang berintegriti di peringkat Persekutuan dan negeri. Kita juga mahu menjadi (pemerintah) bersih,” katanya.

Beliau menjelaskan, setakat ini tiada seorang pemimpin Pas yang mentadbir negeri sama ada di Kelantan dan Terengganu terpalit isu rasuah.

Tambahnya, menteri dari Pas yang bersama menganggotai kabinet juga tidak mempunyai masalah dan menjalankan tugas dengan baik.

“Pahang ada isu air dengan kerajaan Persekutuan dari zaman BN, ada hutang, tujuh tahun lalu. Tidak selesai dan silih berganti Menteri yang jaga air (Menteri Alam Sekitar dan Air).

“Isu ini berlarutan ketika menteri daripada BN, selepas itu daripada Pakatan Harapan (PH), seterusnya PN. kemudian Tuan Ibrahim (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) yang menjadi menteri yang menjaga air pada ketika ini membantu menyelesaikan hutang kerajaan Pahang dengan Persekutuan.

“Jadi, janganlah tengok orang itu pakai songkok, kopiah, ada janggut, kita fikir mereka tidak pandai mentadbir, tapi kita perlukan lihat sahsiahnya rasuah atau tidak rasuah, ada intergriti atau tidak,” jelas beliau lagi.