PRU15: PH 'melabur' mantapkan media sosial

in Politik by

Salahuddin

JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) akan melakukan pelaburan besar bagi memantapkan platform media sosial pada Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU15).

Pengerusi PH Negeri Johor yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya juga sedang merangka strategi menerusi platform media sosial yang dilihat sebagai medium yang boleh membantu kemenangan PH pada PRU15.

“Kita akan pastikan investment (pelaburan) besar kepada media sosial pada PRU15 kerana menerusi media sosial ini kita dapat berkempen selain menguasai pemikiran pengundi.

“Oleh itu, strategi media sosial ini, perlu kita lancarkan pada PRU15 kerana ia memungkinkan kita untuk mencapai kemenangan kelak.

“Kita juga telah meningkatkan siri Jelajah PH bermula di zon utara, selatan dan selepas nama calon diumumkan pasti jentera penerangan akan laksanakan strategi yang telah kita tetapkan,” katanya kepada pemberita sempena Fundrising Dinner Pakatan Harapan (PH) Johor di Pusat Konvensyen Austin pada Jumaat.

Hadir sama, Presiden Amanah, Mohamad Sabu, Pengerusi Amanah Negeri Johor, Aminolhuda Hassan dan Timbalan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching.

Mengulas mengenai pembahagian kerusi di Johor pada PRU15, Salahuddin menegaskan kesemua parti di bawah PH telah mencapai kata sepakat untuk mengagihkan kerusi berkenaan

“Mengenai pembahagian kerusi, kita dah capai satu kata sepakat, tak ada isu besar, kerana kita hanya agihkan kerusi yang ditinggalkan, oleh itu Amanah akan bertanding di enam kerusi dan yang lain kita tak usik.

“Setiap parti akan pertahankan (kerusi)… tempat yang kalah PRU14 kita tak usik kecuali ada pertukaran suka sama suka, dan itu telah dapat kita uruskan dengan baik.

“Boleh saya sebutkan di sini, kekuatan perpaduan kita kali ini agak meyakinkan… tiada masalah dalaman dan dengan satu logo, satu manifesto dan banyak gerak kerja kita dah lakukan bersama. Ini adalah peluang terbaik untuk kita kembali berkuasa dan kembali ke Putrajaya,” jelas beliau.