Sarawak catat lebih 1.9 juta pengundi

in Politik by

Jumlah terkini pemilih berdaftar di Sarawak yang direkodkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ialah seramai 1,943,074 orang. (Gambar hiasan) – Foto Bernama

KUCHING – Jumlah terkini pemilih berdaftar di Sarawak yang direkodkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ialah seramai 1,943,074 orang, meningkat sebanyak 59.14 peratus berbanding 1,220,960 orang yang direkodkan sewaktu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, daripada jumlah itu, pemilih berumur di antara 21 dan 39 tahun menjadi kategori paling ramai dengan 825,791 orang, manakala pemilih berumur 18 ke 20 tahun seramai 129,034 orang.

“Daftar Pemilih Sarawak yang terkini itu merekodkan seramai 975,618 bersamaan 50.21 peratus pengundi lelaki dan 967,456 (49.79 peratus) pengundi wanita,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Kenyataan yang dibuat selepas mendengar taklimat dari SPR Sarawak itu turut menyebut seramai 38,148 petugas, akan bertugas untuk PRU15 melibatkan 1,943 pusat mengundi termasuk 55 pusat mengundi awal dengan 4,286 jumlah saluran.

“Sebanyak 1,943 pusat mengundi telah diwartakan membabitkan sekolah, rumah panjang dan beberapa premis lain yang dikenal pasti. Daripada jumlah itu, 74 pusat mengundi yang terletak di kawasan pedalaman, tidak mempunyai akses telekomunikasi,” katanya.

Bagi mengatasi masalah akses telekomunikasi ini, Wan Junaidi berkata, SPR mendapat kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta syarikat telekomunikasi, untuk memastikan semua pusat penamaan calon dan pusat mengundi itu mendapat liputan perhubungan dan komunikasi.

Wan Junaidi berkata, SPR juga, mendapat kerjasama Jabatan Insolvensi Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri, untuk mendapatkan maklumat terkini status kebankrapan dan rekod percukaian calon-calon yang akan bertanding, selain pihak Peguam Negara bagi memberi nasihat undang-undang kepada Pegawai Pengurus pilihan raya.

Bagi memastikan kelancaran perjalanan pilihan raya kali ini, beliau berkata SPR Sarawak telah bersedia dengan pelbagai persediaan melibatkan logistik udara, air dan darat.

“Malah, sekiranya berlaku banjir ketika pilihan raya berlangsung, SPR Sarawak juga sudah merancang pelbagai kaedah, bagi melancarkan perjalanan proses demokrasi dengan kerjasama bersama semua agensi keselamatan,” tambahnya. – Bernama