'Saya pasrah, ALLAH lebih menyayangi mereka'

in Edisi by

Jenazah Sayyid Uwais Al-Qarni tiba untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Batu Hampar, Manir di Kuala Terengganu kira-kira jam 6.30 petang pada Sabtu. (Gambar kecil: Mohd Lekman)Jenazah Fatin Hazlin Dahlia dan Sayyid Uwais Al-Qarni disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Kampung Batu Hampar, Manir, di Kuala Terengganu kira-kira jam 6.30 petang pada Sabtu.

KUALA TERENGGANU – ‘Saya ikhlas dan reda melepaskan Fatin pergi bersama anak syurga kami kerana ALLAH SWT lebih menyayangi mereka, luah Mohd Lekman Zakaria, 36.

Jenazah isterinya, Fatin Hazlin Dahlia Mazlam, 30 bersama bayi, Sayyid Uwais Al-Qarni yang berusia setahun lapan bulan bulan serta dua anak dalam kandungan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Batu Hampar, Manir, di sini kira-kira jam 6.30 petang pada Sabtu.

Kata Mohd Lekman, dia tidak dapat menghantar arwah isterinya buat kali terakhir di tanah perkuburan kerana keadaan kakinya yang masih retak dan tidak mampu berjalan.

“Hanya doa sahaja yang mengiringi Allahyarham. Saya masih tak sanggup untuk menatap wajah arwah. Lagipun kaki saya masih belum sembuh dan tidak boleh berjalan,” katanya ketika hubungi di sini pada Sabtu.

Mengulas mengenai kandungan arwah isterinya, Mohd Lekman berkata, Allahyarham sebenarnya ingin memberikan kejutan kepada kedua ibu bapanya.

“Dia minta saya rahsiakan kandungannya daripada kedua ibu bapanya kerana berhasrat untuk memberikan kejutan. Tak sangka pula mereka ‘pergi’ bersama lebih awal.

“Walaupun masih terkejut dan bersedih. Saya reda dan pasrah atas ketentuan Ilahi,” ujar Mohd Lekman.

**media[1961951]**

Mengenai anak-anaknya pula, katanya, dia belum memikirkan lagi kerana mereka masih dirawat di hospital.

“Mungkin juga mereka akan tinggal bersama datuk dan nenek buat sementara waktu,” katanya yang turut mengalami kecederaan pada anggota badan.

Dua anaknya iaitu Nur Qaireen Luffiya, 5, dan Muhammad Arsyad Syahiran, 9, masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) manakala seorang lagi, Sayyid Lutfi Mohd Lekman, 7, sudah stabil.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan seorang wanita maut manakala bayinya dan seorang lagi penumpang cedera parah setelah Perodua Alza dipandu hilang kawalan lalu bertembung dengan treler tangki minyak di kilometer 83 Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu dekat Kampung Bintang, di Setiu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 4.40 petang itu menyebabkan Fatin Hazlin Dahlia yang memandu kenderaan itu meninggal dunia di lokasi kejadian.