'Silibus sekolah rendah susah, tapi percayalah dengan KPM’

in Nasional by

Alimuddin

SHAH ALAM – Bekas Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPM), Tan Sri Alimuddin Mohd Dom mengakui silibus pembelajaran untuk sekolah rendah agak susah.

Beliau walau bagaimanapun meminta orang ramai khususnya ibu bapa terus mempercayai kredibiliti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Konsep nampak susah tapi ianya akan tambah nilai, semangat untuk belajar dan itulah sebenarnya ilmu pengetahuan kita pentingkan,” katanya

Beliau berkata demikian ketika program Disebalik Isu bersama Finaz Yunus (FY) ‘Apa hala tuju silibus sekolah rendah kita?’ yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Jumaat.

Turut menjadi panelis Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan UKM, Dr Anuar Ahmad dan Pakar IQ Kanak-Kanak, Dr Noor Aishah Rosli.

Alimuddin berkata, dalam KPM ada satu bahagian iaitu perkembangan kurikulum, mereka yang berada di dalamnya memang pakar.

“Tapi sebenarnya pelajar-pelajar kena tahu tentang aset, liabiliti, saham, NATO, kabinet, institusi raja, ASEAN dan walaupun nampak berat untuk Tahun Satu dan Dua tapi sebenarnya mereka biasa mendengarnya, contoh ASEAN memang dalam berita selalu sebut,” katanya.

Tambahnya, meskipun peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) sudah tiada tetapi ujian lain masih ada.

“Ujian bulanan, ujian pertengahan tahun dan akhir tahun masih ada… di situlah murid dinilai sama ada dia faham ataupun tidak.

“Kalau dapat keputusan yang tidak baik, di sinilah peranan guru termasuk ibu bapa untuk pastikan murid ini berjaya.

“Bukan setakat itu sahaja, bila dia sdah habis sekolah nak masuk universiti orang tengok juga, nak masuk perubatan sekarang ini kena straight A, kalau ada E dan D mungkin susah,” jelasnya.

Jelasnya lagi, biasiswa juga diberikan kepada pelajar yang bagus dan janganlah dianggap langsung tidak perlu pencapaian yang baik dalam peperiksaan akademik.

Alimuddin berkata, pendidikan di sekolah hari ini adalah di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

“Sudah sampai masanya satu perubahan dilakukan dalam sistem pendidikan kita.

“Tapi di antara pembelajaran yang ditekankan misalnya perubahan iklim, alam sekitar, kemampanan iaitu menekankan tentang keperluan generasi untuk masa hadapan.

“Ini termasuk soal keseimbangan antara perkembangan ekonomi, penjagaan alam sekitar dan keperluan sosial,” katanya.

Kata Alimuddin lagi, ianya juga fokus kepada latihan guru untuk menyesuaikan dengan perubahan serta memberi kebebasan kepada pihak sekolah menyediakan jadual waktu kepada pelajar dan diikuti dengan KBAT (Kemahiran Berfikir Aras Tinggi) dan STEM (pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik).

“Ini perubahan dunia yang perlu kita ikuti. ‘Teaching and learning 21st century’ merupakan salah satu program transformasi pendidikan negara yang diikuti,” ujarnya.