Tanding bawah PKR tak jejas hubungan dengan Amanah: Husam

in Politik by

Husam ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PKR di Padang MPAJ, Taman Kosas pada Jumaat.

AMPANG – Bekas Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Husam Musa menjelaskan bahawa tindakan beliau menjadi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak akan menjejaskan hubungan antara kedua parti itu.

Husam berkata, keputusan untuk mencalonkan beliau di Parlimen Pasir Mas itu juga telah pun dibincangkan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) yang turut dibarisi pimpinan daripada daripada PKR dan Amanah.

“Amanah dan PKR adik-beradik, tidak ada masalah, satu keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengumuman Calon PKR yang diadakan di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Taman Kosas di sini pada Jumaat.

Husam berkata, dengan perkembangan tersebut, beliau akan menjadi ahli PKR.

Sementara itu, beliau mengakui berhadapan dengan cabaran besar untuk bersaing di Pasir Mas yang disifatkan sebagai kubu kuat Pas.

“Tetapi dengan mood dan perubahan ditunjukkan oleh rakyat untuk lihat negara kita berubah dan sokongan kepada PH, saya cuba untuk membawa kemenangan kepada PH,” ujarnya.

Pada PRU14, Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas dengan majoriti 13,075 undi apabila berjaya meraih 28,080 undi dalam persaingan empat penjuru.

Husam menerusi ucapannya pada majlis tersebut turut menyatakan bahawa untuk PH memenangi PRU15, gabungan itu perlu memenangi kerusi Parlimen di negeri Kelantan dan Terengganu.

“Kalau Kelantan boleh menyumbang satu, Terengganu boleh menyumbang satu, ia akan mengukuhkan langkah kita ke Putrajaya,” ujarnya.

Pada PRU14, PH gagal untuk memenangi sebarang kerusi yang dipertandingkan di Kelantan dan Terengganu.