Tunisia berdepan penyingkiran daripada Piala Dunia

in Sukan by

Skuad Tunisia berdepan risiko terlepas aksi Piala Dunia Qatar ekoran campur tangan kerajaan dalam arena bola sepak. -Foto Agensi

TUNISIA berdepan risiko disingkir daripada Piala Dunia 2022 di Qatar bulan depan susulan campur tangan kerajaan negara itu dalam hal ehwal bola sepak.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menegaskan ahli badan itu perlu bebas daripada sebarang campur tangan undang-undang dan politik.

Penegasan tersebut berikutan komen berterusan Menteri Belia dan Sukan Tunisia, Kamel Deguiche mengenai cadangan ‘pembubaran biro persekutuan’.

FIFA menyifatkan kenyataan itu sebagai gangguan dalam pentadbiran Persatuan Bolasepak Tunisia (FTF) dan mahu menteri berkenaan menjelaskan cubaan campur tangan hal dalaman dan ugutan membubarkan pejabat.

Organisasi beribu pejabat di Zurich itu mengingatkan FTF bahawa ahli gabungannya perlu beroperasi dengan bebas tanpa campur tangan pihak ketiga.

Teguran FIFA itu dimaklumkan menerusi surat daripada Pengarah Jawatankuasa FIFA, Kenny Jean-Marie kepada Setiausaha Agong FTF, Wajdi Aouadi.

“Kegagalan mematuhi peraturan akan dikenakan tindakan atau penalti termasuk penggantungan kepada persatuan terbabit,” menurut surat itu.

Sekiranya Tunisia dikenakan hukuman bermakna kelab atau skuad kebangsaan negara itu dilarang beraksi sama ada dalam kejohanan domestik atau antarabangsa.

Juara Afrika 2004 itu diundi dalam Kumpulan D bersama juara bertahan, Perancis, Denmark dan Australia.