Aura Piala Malaysia Sherman bukan biasa-biasa

in Sukan by

Sherman. – Foto Agensi

PENINGKATAN mendadak prestasi penyerang Terengganu FC (TFC), Kpah Sherman di kempen Piala Malaysia bakal menjadi mimpi buruk kepada semua pencabar lain.

Ledakan hatrik bagi membantu Terengganu menumpaskan Sri Pahang FC, 5-1 umpama satu isyarat yang penyerang kebangsaan Liberia ini sudah kembali menemui sentuhan pemusnah.

Bekas pemain kebangsaan dan penganalisis Liga Malaysia, Nazzab Hidzan, menjangkakan Sherman mampu membawa skuad Penyu menjadi pilihan utama bagi merangkul trofi Piala Malaysia.

“Ini antara perlawanan terbaik buat Sherman bagi musim ini bersama Terengganu selepas aksi yang tidak menentu.

“Jika dia mampu kekalkan prestasi yang sama dalam perlawanan mendatang, ini sememangnya bakal memberikan banyak masalah kepada pencabar lain.

“Jurulatih (Nafuzi Zain) juga mempunyai banyak pilihan di bahagian serangan kerana sebelum ini banyak bergantung kepada Tchetche Kipre.

“Ketajamannya di depan gawang tidak boleh dinafikan dan ini peluang terbaik buat Sherman bagi bantu Terengganu merangkul sekurang-kurangnya satu trofi untuk musim ini,” katanya.

Sherman merupakan antara pilihan pemain Best XI Nazzab bagi perlawanan pertama Pusingan 16 Piala Malaysia 2022 di bawah formasi 4-3-3.

Selain Sherman, Caion (Selangor FC) dan Lucas Silva (Penang FC) melengkapkan trio serangan untuk perlawanan minggu ini.

Di barisan tengah, Alif Hassan (Kuching City FC) yang meledak satu jaringan dan satu bantuan gol berada dalam barisan tengah bersama Manuel Ott (Terengganu FC) serta Baddrol Bakhtiar (Sabah FC).

Kapten Kelantan FC, Yusri Yuhasmadi turut mencuri tumpuan apabila berada dalam empat pertahanan pilihan bersama-sama Shahrul Saad (JDT), Fazly Mazlan (Selangor) dan Che Rashid Che Halim (Negeri Sembilan FC).

Bagi posisi penjaga gol, Suhaimi Husin (Terengganu) berada dalam senarai Best XI selepas memperagakan prestasi cemerlang di Stadium Darul Makmur manakala Nafuzi Zain (Terengganu), muncul ketua jurulatih pilihan.

Dalam pada masa sama, Nazzab turut gembira melihat kecemerlangan Shahrul Saad yang berjaya meledak jaringan pertamanya musim ini bersama JDT.

“Semua orang tahu Shahrul sememangnya ada kualiti yang sangat baik selaku pemain kebangsaan dan dia kian meningkat sejak bersama JDT.

“Malah dia sentiasa boleh memberikan jaringan dalam situasi bola mati ketika sepakan penjuru atau percuma.

“Gol yang dijaringkan semasa dengan PJ City melalui tandukan begitu berkualiti dan sukar buat mana-mana penjaga gol menyelamatkan bola sebegitu,” katanya.

PIALA MALAYSIA

Perlawanan Kedua Pusingan 16

ISNIN ( 31 OKTOBER )

Kuching City (2) lwn (2) Penang FC

(Std Negeri, 8.15 malam)

Sabah FC (2) lwn (1) UiTM FC

(Std Likas, 8.15 malam)

JDT (4) lwn (0) PJ City

(Std Sultan Ibrahim, 8.15 malam)

Kelantan FC (1) lwn (0) Sarawak United

(Std Sultan Muhammad IV, 9 malam)

SELASA (1 NOVEMBER)

Selangor FC (2) lwn (0) Kelantan United

(Std Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 9 malam)

Negeri Sembilan FC (2) lwn (1) Kedah Darul Aman FC

(Std Tuanku Abdul Rahman, 9 malam)

KL City (3) lwn (0) PDRM FC

(Std Bola Sepak Kuala Lumpur, 9 malam)

Terengganu FC (5) lwn (1) Sri Pahang FC

(Std Sultan Mizan Zainal Abidin, 9 malam)

* Dalam kurungan keputusan perlawanan pertama