DAP pertaruh Fatin Zulaikha di Mersing

in Politik by

Dari kiri: Fatin Zulaikha, Ni Ching, Chin Tong dan Shu Qi.Anthony (tengah), bersama veteran DAP, Lim Kit Siang (tiga dari kiri) dan Timbalan Pengerusi, Gobind Singh Deo.

SKUDAI – DAP melengkapkan tujuh calon bagi kerusi Parlimen di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila mengumumkan empat lagi calon, pada malam Ahad.

Pengumuman berkenaan dibuat oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang menyaksikan Pegawai Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung sejak 2018 sehingga kini, Fatin Zulaikha Zaidi akan bertanding di kerusi Parlimen Mersing.

Fatin Zulaikha ialah calon wanita Melayu ketiga yang ditampilkan oleh parti itu untuk bertanding pada PRU15 selepas Young Syefura Othman (Bentong) dan Syerleena Abdul Rashid (Bukit Bendera).

Beliau turut mengumumkan bahawa Pengerusi DAP Johor yang juga ADUN Perling, Liew Chin Tong akan bertanding di kerusi Parlimen Iskandar Puteri menggantikan penyandangnya, Lim Kit Siang.

Penyandang lain yang akan mempertahan kerusi masing-masing ialah bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching di Parlimen Kulai dan Wong Shu Qi (Kluang).

Syabas kepada semua calon terutamanya calon wanita kita yang baharu, Fatin Zulaikha yang akan bertanding di kubu kuat BN.

“Oleh itu saya harap semua pengundi di Mersing dapat memberikan sokongan kepadanya dan seterusnya memastikan kemenangan PH di Mersing nanti,” katanya ketika berucap ketika mengumumkan calon Pakatan Harapan, malam Ahad.

**media[1963288]**

Beliau turut mengesahkan bahawa parti itu akan bertanding di tujuh kerusi Parlimen di Johor yang membabitkan empat calon lelaki dan tiga calon wanita.

Sebelum ini, bekas ADUN Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali diumum bertanding di kerusi Parlimen Ayer Hitam manakala Pang Hok Liong mempertahan kerusi Labis dan bekas ADUN Skudai, Tan Hong Pin di Bakri.

Sementara itu, Anthony berkata, pihaknya kagum dengan semangat dan keberanian Fatin Zulaikha yang bersedia untuk bertanding di kubu kuat BN itu.

Bagaimanapun katanya, senario itu turut memberikan gambaran bahawa DAP sememangnya menghormati wanita hingga memberikan kepercayaan kepada golongan itu untuk bertanding pada PRU15.

“Saya dengan ini mengumumkan DAP akan mempertaruhkan seramai tujuh calon di Johor, melibatkan empat calon lelaki manakala tiga calon wanita.

“Ini menunjukkan kita memang menyokong wanita dan mempercayai kemampuan mereka untuk menandingi wakil rakyat dan pemimpin sedia ada,” katanya.