Keharmonian negara bantu usaha kerajaan pulih, bangun ekonomi

in Nasional by

Ismail Sabri ketika tiba pada program Muafakat Keluarga Malaysia Parlimen Bera di Dewan SRJKC Triang 2 hari ini. – Foto Bernama

BERA – Keharmonian yang dinikmati hasil perpaduan dan sikap saling bertoleransi rakyat berbilang kaum membantu usaha kerajaan dalam memulihkan dan membangunkan ekonomi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sehubungan itu beliau berkata, keharmonian berkenaan mesti diteruskan menerusi kesepakatan semua rakyat sebagai sebuah keluarga besar menerusi konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan beliau sejak menerajui kepimpinan negara.

“… dengan keharmonian yang ada, kita boleh melihat ekonomi bertambah baik berbanding lepas, dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua, iaitu terbaik di Asia Tenggara.

“Kadar inflasi negara juga mencatatkan penurunan kepada 4.5 peratus, yang lebih baik daripada beberapa negara lain,” katanya semasa berucap pada Majlis Muafakat Keluarga Malaysia Parlimen Bera di Dewan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Triang 2 di sini hari ini.

Beliau berkata, rakyat Malaysia, khususnya golongan peniaga, pasti mahu melihat politik yang stabil dan negara yang aman supaya mereka boleh menjalankan perniagaan dengan baik.

Ismail Sabri seterusnya berkongsi cerita mengenai ilham untuk mewujudkan konsep Keluarga Malaysia, yang menurutnya datang daripada keharmonian dan semangat perpaduan amat kuat yang dilihatnya dalam kalangan penduduk di sini sepanjang beliau bergelar Ahli Parlimen Bera.

“Sikap toleransi antara kita yang saling faham-memahami dan tidak menjadikan perbezaan kebudayaan antara kita sebagai penghalang untuk bersatu sebagai sebuah keluarga besar. Saya seronok apabila dapat bersama-sama dalam suasana kekeluargaan seperti ini.

“Sebab itu, apabila saya menjadi Perdana Menteri, saya bawa idea dari Bera dan tukarkan dari Keluarga Bera menjadi Keluarga Malaysia kerana yang penting kepada kita dalam negara berbilang kaum ialah keharmonian,” katanya. – Bernama