Korea Selatan berkabung susulan tragedi Halloween

in Global by

Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol pada Ahad mengumumkan tempoh berkabung. Foto Reuters.

SEOUL – Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol pada Ahad mengumumkan tempoh berkabung dan mengarahkan bendera dikibarkan separuh tiang susulan insiden rempuhan ketika perayaan Halloween di Seoul yang mengorbankan 151 orang termasuk 19 warga asing, lapor Agensi Berita Yonhap.

“Kejadian itu benar-benar ngeri. Tragedi dan bencana pada Sabtu itu tidak sepatutnya berlaku.

“Kerajaan menetapkan tempoh berkabung bermula hari ini sehingga kejadian itu dapat diuruskan sepenuhnya dan hal ehwal pentadbiran negara akan mengutamakan pemulihan dan langkah susulan,” kata Yoon salam ucapannya secara langsung dari pejabat presiden sehari selepas insiden di Itaewon itu yang mengorbankan ramai pengunjung kebanyakannya berusia 20-an.

Yoon merakamkan ucapan takziah atas kehilangan nyawa dan berharap mereka yang cedera agar cepat sembuh.

Kerajaan juga akan membantu proses pengebumian dan menggerakkan perkhidmatan perubatan kecemasan untuk merawat pesakit termasuk menugaskan penjawat awam bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan.

“Paling penting ialah menentukan punca kemalangan dan mencegah kejadian sama berulang kembali.

“Kami akan menyiasat secara menyeluruh punca kejadian dan membuat penambahbaikan supaya kemalangan seperti ini tidak berulang pada masa hadapan,” katanya.

Yoon berkata beliau akan mengarahkan kementerian dalam negeri dan kementerian berkaitan untuk menjalankan semakan terperinci terhadap semua perayaan Halloween dan perayaan tempatan lain bagi memastikan penganjurannya diadakan dengan teratur dan selamat.

Beliau kemudian melawat lokasi kejadian sebelum menuju ke kompleks kerajaan untuk mempengerusikan mesyuarat kerajaan.

Semua pejabat kerajaan turut diarah mengibarkan bendera separuh tiang.- Bernama.